Wong Chen

KUALA LUMPUR – Pembangkang menyifatkan Bajet 2022 yang dibentangkan Jumaat lalu sebagai belanjawan berfokuskan kepada kepentingan politik dan pilihan raya.

Ahli Parlimen Subang dari PKR, Wong Chen berkata, agak malang sekali, cara pembentangan bajet itu berbaur perkauman, yang dikatakan dasar tersembunyi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sebalik konsep Keluarga Malaysia.

“Pandangan saya mengenai Bajet 2022 ini, ianya bukanlah belanjawan berhemah, tetapi belanjawan yang berfokus kepada kepentingan politik, iaitu satu belanjawan pilihan raya.

“Apa yang paling malang, cara pembentangan bajet ini berbunyi (berbaur) perkauman. Adakah ini sebenarnya dasar tersembunyi perdana menteri di sebalik konsep keluarga Malaysia?.

“Pandemik Covid-19 tidak mendiskriminasi kaum dan agama. Seramai 29,000 rakyat Malaysia yang terkorban akibat wabak itu adalah dari berbilang kaum dan agama. Semuanya rakyat Malaysia,” kata beliau ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen, petang ini.

Katanya, pemusnahan ekonomi akibat Covid-19 juga tidak mengira kaum dan agama termasuk majoriti besar perniagaan terkesan mengalami kerugian adalah syarikat Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan.

Jelasnya, di Parlimen Subang, beliau menyaksikan sukarelawan berbilang kaum menolong yang susah dan juga dari pelbagai agama dan bangsa, suatu yang membanggakannya.

Kata Chen, beliau terharu melihat masyarakat berganding bahu, tolong menolong.

Bagaimanapun, ujar beliau, selepas menyaksikan maklum balas majoriti rakyat Malaysia yang boleh mengenepikan isu perkauman untuk menentang Covid-19, kenapa pula kerajaan Keluarga Malaysia mengeluarkan pembentangan belanjawan yang mempunyai fokus sorotan perkauman?

“Kaum Melayu Bumiputera dapat berapa bilion, kaum Cina dapat berapa juta dan kaum India dapat berapa juta? Ramai juga netizen bertanya, kenapa jurang bantuan kerajaan jauh sangat antara satu kaum berbanding kaum lain.

“Saya cadangkan kepada kerajaan untuk lebih bertanggungjawab dalam perkara belanjawan ini. Jangan main-mainkan isu perkauman. Tidak bolehkah kerajaan tukar fokus kepada isu ketidaksamaan berdasarkan kaya miskin? Bukan berdasarkan kayu ukur perkauman?

“Apakah logik satu dasar kerajaan, di mana bantuan boleh diberi kepada seorang Melayu yang sudah kaya raya seperti Tan Sri Syed Mokhtar, tetapi tidak pula ada dana secukupnya untuk menolong seorang makcik Cina yang kerja membasuh pinggan di kedai makan ataupun seorang pemuda India yang kerja sebagai penghantar despatch?,” soal beliau.

Kata Chen, beliau kecewa apabila Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang bukan seorang politik, telah bersetuju membenarkan orang politik memasukkan unsur perkauman dalam pembentangan belanjawan itu.

“Oleh kerana belanjawan ini dipolitikkan, rakyat Malaysia mungkin mudah lupa, tetapi hakikatnya kerajaan ini adalah kerajaan gagal. Kerajaan YB Bera sama macam kerajaan YB Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dulu,” katanya. – MalaysiaGazette