Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Penetapan tambang dan kekerapan penerbangan domestik oleh syarikat penerbangan negara dibuat berdasarkan rasionalisasi sektor perkhidmatan udara domestik pada 2006.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memberitahu Dewan Rakyat, syarikat itu diberikan kebebasan menentukan liputan rangkaian, kekerapan penerbangan dan kadar tambang yang hendak ditawarkan berdasarkan permintaan pasaran melalui kaedah dinamik.

Di samping itu, kata beliau, syarikat penerbangan juga mempraktikkan konsep cross-subsidisation dalam penetapan harga tambang.

“Sekatan perjalanan antara negeri yang dikuatkuasakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan berterusan di bawah tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Sekatan ini telah memberi impak besar kepada jumlah trafik penumpang udara domestik yang secara langsung telah menjejaskan kemampuan syarikat penerbangan untuk mempraktikkan konsep cross-subsidisation dalam penetapan harga tambang,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen (DAP) yang bertanyakan mengenai langkah diambil kerajaan untuk mengawal jumlah penerbangan dan harga tiket kapal terbang ke Sabah dan Sarawak yang melambung tinggi.

Kata belilau, berdasarkan pemantauan oleh MAVCOM pada 27 Oktober lalu, bagi tarikh penerbangan antara 2 hingga 8 November 2021, pihak berkenaan mendapati kebanyakan penerbangan antara Semenanjung dan Sarawak merekodkan harga tiket yang tinggi iaitu antara satu hingga enam kali ganda lebih mahal berbanding harga tiket pada 2019.

Menurut Ka Siong, bagi laluan Semenanjung ke Sabah pula, berdasarkan pemantauan sama untuk tempoh antara 4 sehingga 10 November lalu, MAVCOM mendapati harga tiket lebih rendah antara 30 hingga 62 peratus direkodkan berbanding harga tiket pada tahun 2019.

Katanya, harga tiket penerbangan yang tinggi itu antara lain adalah kesan daripada pelaksanaan had kapasiti penerbangan oleh kerajaan negeri sebagai sebahagian daripada usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Ketika ini, kekerapan penerbangan ke Sarawak telah berkurangan sebanyak 86 peratus berbanding dengan tempoh sebelum wabak Covid-19, manakala, bagi penerbangan antara Semenanjung dan Sabah pula, kekerapan penerbangan telah berkurangan sebanyak 49 peratus berbanding semasa tempoh sebelum wabak Covid-19.

“Kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri pada 24 September lalu telah bersetuju membenarkan peningkatan kekerapan penerbangan bagi mana-mana laluan antara Semenanjung dan Sarawak daripada 22 penerbangan seminggu kepada 87 penerbangan seminggu.

“Pada masa sama, syarikat penerbangan dibenarkan menyediakan perkhidmatan tanpa had kapasiti penumpang,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan kekerapan dan kelonggaran had kapasiti itu telah berkuat kuasa mulai 8 Oktober lalu dan dengan kebenaran itu, kekerapan perkhidmatan penerbangan ke Sarawak meningkat sehingga 50 penerbangan seminggu mulai 8 Oktober lalu.

Selanjutnya, kata Ka Siong lagi, kerajaan Sarawak juga pada 25 Oktober lalu telah bersetuju membenarkan peningkatan kekerapan penerbangan ke negeri itu daripada 89 penerbangan seminggu kepada 223 penerbangan seminggu.

“Penerbangan ini tanpa had kapasiti penumpang yang berkuatkuasa mulai semalam dan akan membolehkan syarikat penerbangan meningkatkan kekerapan operasi penerbangan serta menawarkan harga tiket yang lebih rendah.

“Harga tiket penerbangan bagi laluan ke Sabah dan Sarawak dijangka kembali ke paras purata apabila jumlah kekerapan penerbangan beroperasi seperti biasa.

“Pada waktu ini, kedua-dua kerajaan negeri ini wajar mempertimbangkan untuk mempermudahkan protokol kesihatan bagi kemasukan penumpang dan ini perlu disokong oleh peningkatan keyakinan penumpang untuk terbang di fasa endemik,” katanya. – MalaysiaGazette