Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto bersama Pengarah Eksekutif Rangkaian Asia Anti Hukuman Mati, Dobby Chew serta yang lain selepas menerima memorandum mengenai pelaksanaan hukuman mati Nagaethran a/l K Dharmalingam di Singapura di pintu masuk Bangunan Parlimen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto menuntut agar Perdana Menteri campur tangan dalam pelaksanaan hukuman mati warga negara Malaysia, K. Nagaethran di Singapura.

Menurut beliau, inilah masanya untuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan betapa pentingnya konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang dicanang beliau berfungsi terhadap rakyat negara ini.

“Saya harap dengan komen Perdana Menteri mengenai saranan Keluarga Malaysia, jangan lupa Nagaethran salah seorang daripadanya.

“Kami tidak menafikan seseorang yang yang melakukan kesalahan beliau patut dihukum, itu tiada kompromi tetapi beliau ada masalah kesihatan intelektual, Nagaethran punya kadar kepintaran 69 sahaja, kami tidak minta dia dibebaskan tapi hanya mahu dia tidak dijatuhkan hukuman mati pada 10 November ini.

“Saya harap kerajaan Malaysia seperti mana gah dalam isu Palestin, Syria, Ughur dan sebagainya kena gah juga dalam isu hak asasi manusia,” katanya selepas menerima satu memorandum oleh Anti Death Penalty Asia Network di perkarangan Parlimen hari ini.

Nagaethran yang bekerja di Singapura disabitkan bersalah kerana menyeludup 42.27 gram diamorphine yang lebih dikenali sebagai heroin pada 2011.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan Nagaenthran dilaporkan membangkitkan berkenaan kecacatan mentalnya selepas sabitan itu.

Tertuduh didiagnosis oleh pakar perubatan dengan ketidakupayaan intelek pinggiran (borderline intellectual disability) dengan IQ 69 iaitu lebih rendah daripada IQ purata manusia biasa antara 85-115.

Kasthuri turut berkata, pihaknya akan mengutuskan sepucuk surat kepada Kesatuan Eropah dan Kedutaan Singapura merayu agar hukum terhadap Nagaethran ditukar daripada hukuman mati kepada hukuman penjara seumur hidup.

Individu memegang poster bantahan berkumpul di pintu masuk bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum mengenai pelaksanaan hukuman mati Nagaethran a/l K Dharmalingam di Singapura. Foto AFFAN FAUZI, 03 NOVEMBER 2021.Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Anti Death Penalty Asia Network, Dobby Chew berkata, dalam memorandum lapan muka surat itu pihaknya menggesa agar kerajaan membantu keluarga Nagaethran bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

“Kenapa individu kurang upaya khususnya kurang upaya mental tidak wajar dikenakan hukuman mati, jadi ini memang dikenali di seluruh dunia.

“Kalau seseorang itu tiada kapasiti untuk faham apa jenayah yang mereka lakukan, mereka tidak patut dijatuhkan hukuman. Undang-undang antarabangsa memang tidak ada ruang untuk mejatuhkan hukuman bagi situasi sebegini.

“Dalam kes ini, walaupun mahkamah tidak terima mangsa adalah kurang waras semasa menbuat aktiviti kesalahan jenaya itu tetapi ini tidak bermaksud mereka boleh melaksanakan hukuman walaupun dia sudah didapati bersalah tapi isu mental dan kesihatan intelektual mereka tidak boleh dijatuhkan hukuman,” katanya kepada media.

Terdahulu Dobby mengetuai 30 individu berkumpul di perkarangan bangunan Parlimen di sini bagi menyampaikan memorandum tersebut kepada Kasthuri.

Untuk rekod, Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman mati pada 10 November ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kementerian Luar Negeri hulur bantuan konsular kepada Nagaenthran

1 Komen

  1. Bodoh punya ahli parlimen. Suruh pm campur tangan dalam undang2 negara lain. Tak sekolah ke??

Comments are closed.