KUALA LUMPUR – Cabaran beregu campuran profesional negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying di Jerman terhenti apabila tewas mengejut kepada beregu Denmark Mikkel Mikkelsen-Rikke Soby pada pusingan pertama.
Pasangan Denmark yang menduduki ranking ke-43 dunia menewaskan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 negara selepas mengharungi 53 minit perlawanan dengan 20-22, 21-15, 16-21.
Bagaimanapun, satu lagi beregu profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai melangkah ke pusingan kedua selepas mudah mengenepikan gandingan Belanda Ruben Jillie-CHeryl Seinen 21-14, 21-15.
Soon Huat-Shevon yang menduduki ranking kesembilan dunia bakal berdepan pasangan Denmark Niclas Nohr-Amalie Magellund di pusingan kedua.
Sementara itu, gandingan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mengenepikan pasangan New Zeland Oliver Leydon-Davis-Anona Pak 21-15, 21-15 untuk menempah pertembungan dengan pilihan utama kejohanan dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.
Pemain perseorangan lelaki profesional negara Liew Daren terpaksa meninggalkan kejohanan lebih awal apabila tersingkir selepas tewas kepada pemain Hong Kong 21-17, 22-20 manakala pemain utama negara Lee Zii Jia bakal memulakan cabaran berdepan pemain Sepanyol Pablo Abian hari ini. – MalaysiaGazette