Seorang lelaki mencari tin minuman aluminium yang boleh di kitar semula bagi mendapatkan wang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 SEPTEMBER 2021.

KELESTARIAN bumi merupakan antara agenda penting negara bagi mengekalkan kebersihan alam sekitar, meningkatkan tahap kesihatan penduduk, melindungi keindahan flora dan fauna dan sebagainya. Kelestarian bumi turut melibatkan aktiviti memelihara dan memulihara alam sekitar daripada sebarang ancaman. Kepentingan agenda kelestarian bumi diangkat dalam Bajet 2021 yang dibentangkan pada 6 November 2020 yang lalu.

Kerajaan menyediakan sejumlah peruntukan yang besar bagi melaksanakan beberapa inisiatif di bawah Strategi 4 – Menjamin Kelestarian Sumber. Strategi ini amat bertepatan dengan situasi negara pada masa ini yang memerlukan perhatian langsung terhadap usaha mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar. Baru-baru ini satu akhbar tempatan mendedahkan bahawa Malaysia merekodkan kadar pelepasan karbon per kapita lebih tinggi dengan purata 7.2 tan per kapita berbanding negara pengeluar gas karbon dioksida terbesar di dunia iaitu China yang merekodkan 7 tan per kapita.

Pelepasan karbon (CO2 emissions) ditentukan oleh gaya hidup dan kepenggunaan(consumption) oleh individu atau kelompok individu dalam seharian. Manakala pengiraan pelepasan karbon individu berdasarkan tapak karbon (carbon footprint) dalam tempoh setahun. Tapak karbon individu berpunca daripada pelbagai faktor. Antara faktor yang mempengaruhi kadar tapak karbon ialah penggunaan tenaga fosil, penggunaan tenaga
elektrik, saiz isi rumah (household), jumlah kitar semula, jarak perjalanan dan sebagainya.

Semua faktor ini menyumbang kepada pengiraan jumlah tapak karbon individu. Pelbagai kaedah pengiraan tapak karbon diperkenalkan oleh pelbagai pihak dan boleh diakses secara dalam talian. Menerusi pengiraan tapak karbon, individu dapat mengetahui jumlah karbon yang dilepaskan ke atmosfera dan seterusnya merancang aktiviti harian yang lebih lestari dalam usaha menurunkan jumlah tapak karbon.

Gaya hidup lestari bermula dari rumah. Pelbagai aktiviti dan penggunaan sumber atau bahan seharian oleh individu akan mempengaruhi tapak karbon. Fokus utama amalan gaya hidup di rumah ialah cara penggunaan tenaga elektrik. Ini kerana penggunaan tenaga elektrik merupakan antara penyumbang terbesar kepada peningkatan jumlah tapak karbon individu. Oleh itu, kita disarankan supaya menggunakan tenaga elektrik secara berhemah dan tidak membazir.

Misalnya, kita hanya menggunakan kipas elektrik atau membuka tingkap rumah bagi pengaliran angin semula jadi. Manakala penggunaan alat penghawa dingin hanya untuk keadaan tertentu sahaja seperti dalam situasi panas yang luar biasa atau saiz isi rumah yang besar.  Selain itu, kita juga disarankan untuk membeli peralatan elektrik yang mempunyai label energy efficiency yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga. Label kecekapan tenga berasaskan sistem star ratings dengan skala 1 hingga 5.

Peralatan elektrik yang dilabelkan dengan 5-star dapat membantu pengguna menggunakan tenaga elektrik dengan lebih efisyen berbanding peralatan elektrik dengan label kurang daripada 5 bintang atau tanpa label kecekapan tenaga. Amalan lestari disemarakkan lagi dengan budaya 3R iaitu reduce, reuse dan recycle. Mengikut piramid budaya 3R, aktiviti yang perlu banyak diamalkan ialah reduce iaitu mengurangkan penggunaan produk atau barangan bagi mengelak penjanaan bilangan sisa yang berlebihan.

Manakala aktiviti reuse ialah menggalakkan para pengguna berkreativiti dalam memanfaatkan semula bahan sisa yang dijana tadi. Misalnya, mengguna semula botol atau tin sebagai bahan perhiasan di rumah. Seterusnya ialah aktiviti kitar semula
(recycle). Kitar semula sangat penting bagi mengatur sisa yang dijana dari punca (rumah).

Kaedah ini melibatkan proses pengasingan sisa mengikut jenis seperti plastik, botol, kertas dan sebagainya. Setelah tempat pengumpulan sementara penuh, semua sisa dihantar ke pusat kitar semula atau diserahkan kepada pekerja pembersihan di kawasan rumah masing-masing.

Kesimpulannya, kesedaran terhadap kepentingan amalan gaya hidup lestari sangat dititikberatkan dalam usaha menurunkan kadar tapak karbon seseorang individu, organisasi dan negara. Urusan seharian cara hidup individu menerusi pelbagai aktiviti dan penggunaan pelbagai bahan atau sumber menyumbang secara langsung kepada pelepasan karbon di atmosfera.

Oleh itu, usaha melestarikan bumi merupakan tanggungjawab bersama tanpa mengira pangkat, kaum dan usia. Banyak manfaat dan kebaikan diperolehi apabila agenda kelestarian bumi dilaksanakan secara mampan dan berkesan. Manfaat ini bukan
hanya untuk menjamin kesihatan dan kesejahteraan kepada penduduk malah dapat menjimatkan wang negara sekiranya kos pengurusan masalah pencemaran alam sekitar dan sebarang aktiviti yang menjejaskan alam sekitar dapat dikurangkan.

Oleh: Hafizah Marzuki
Penulis merupakan staf Pengurusan & Profesional, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis.