Deputy Minister of Health, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 15 DECEMBER 2020
Deputy Minister of Health, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 15 DECEMBER 2020 Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. foto AFFAN FAUZI, 15 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Seramai 2,622,306 iaitu 83.3 peratus remaja telah menerima satu dos vaksin Covid-19 dan 2,197,961 atau 69.8 peratus menerima dos kedua sehingga semalam, kata Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.

Kata beliau, negeri yang mempunyai pencapaian dos dua tertinggi adalah Melaka 88.6 peratus, Perlis (87.8 peratus), Pulau Pinang (83.7 peratus), Kedah (81 peratus) dan Terengganu (80.9 peratus).

Bagaimanapun, menurutnya, sejak seminggu lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati terdapat remaja yang tidak memenuhi atau menghadiri janji temu dos kedua seperti ditetapkan.

“Mengikut unjuran, kadar vaksinasi dos kedua bagi remaja sepatutnya mencapai 80 peratus pada 11 November ini.

“Namun, berdasarkan pemantauan unjuran janji temu dos kedua yang terkini, sasaran itu hanya akan tercapai pada akhir November atau awal Disember ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Dr. Noor Azmi, jika ibu bapa atau penjaga tidak memastikan anak remaja mereka menerima dos kedua, risiko untuk dijangkiti Covid-19 lebih tinggi berbanding yang menerima dos lengkap.

Situasi itu, katanya, pasti akan memberi kesan kepada pembukaan semula sekolah dan juga sektor ekonomi di seluruh negara.

Beliau menyarankan ibu bapa dan penjaga mematuhi janji temu dos kedua anak remaja mereka supaya dapat dilindungi daripada jangkitan Covid-19.

“Bagi ibu bapa yang terpaksa menjadualkan janji temu dos kedua, boleh menghubungi pihak sekolah supaya tarikh baharu dapat diberikan.

“Mereka yang tidak dapat hadir, diminta mewakilkan seseorang dewasa bagi mengiringi anak-anak untuk menerima vaksin Covid-19 dengan mengisi Surat Perwakilan Ibubapa/Penjaga di sekolah masing-masing.

“Kita memahami ada kalangan ibu bapa bimbang anak mereka akan mendapat kesan sampingan seperti alahan,” katanya.

Bagaimanapun, kesan sampingan yang serius amat jarang berlaku dan dengan rawatan awal, remaja akan pulih sepenuhnya.

Oleh itu, Dr. Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) meminta ibu bapa mengiringi anak ke janji temu vaksinasi yang telah ditetapkan demi melindungi anak remaja mereka.

Kata beliau, meskipun sektor ekonomi dan sosial telah dibuka semula dan keadaan semasa semakin bertambah baik, ibu bapa harus sedar risiko jangkitan Covid-19 masih tinggi.

“Lebih lagi bagi anak-anak yang belum melengkapkan vaksinasi dan yang pastinya tidak ada sesiapa yang selamat sehingga semua orang selamat,” katanya. – MalaysiaGazette