MOSCOW – Sebuah pesawat kargo terhempas di timur Rusia, semalam, ketika cuba mendarat menyebabkan kesemua tujuh orang yang berada di dalamnya terkorban, kata para pegawai.
Pesawat buatan Rusia, An-12, dikendalikan syarikat Belarus, Grodno, terhempas dan terbakar berhampiran Irkutsk di timur Siberia, lapor AP.
Agensi penyiasatan utama negara itu, Jawatankuasa Penyiasatan Belarus berkata, terdapat tujuh orang menaiki pesawat tersebut dan kesemuanya maut dalam kemalangan tersebut.
Media Rusia melaporkan pesawat tersebut terhempas pada percubaan kedua untuk mendarat.
Punca kemalangan masih tidak jelas.
Agensi berita Interfax yang memetik siasatan awal membayangkann pesawat tersebut terhempas berikutan ais meliputi permukaan kawalan pesawat akibat hujan pada suhu membeku.
Para pegawai Belarus berkara, kru pesawat terdiri daripada tiga warga Belarus, dua warga Rusia dan dua warga Ukraine.
Pesawat tersebut terbang dari Bilibino di wilayah Chukotka, timur laut Rusia dan mendarat di Yakutsk sebelum meneruskan perjalanan ke Irkutsk.
Pesawat kargo itu direka pada 1950 an. Beratus ratus pesawat itu masih diguna di Rusia, negara bekas Soviet dan negara lain di dunia. – Agensi.