KUANTAN – Polis Pahang sudah mula menerima dos penggalak bagi sesi kumpulan pertama yang telah lengkap dos kedua vaksin Covid-19 melebihi enam bulan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lebih 200 pegawai anggota dari 11 daerah menerima suntikan dos penggalak itu dan ia akan diteruskan secara berfasa.
“Ini bagi menambah keyakinan barisan hadapan dan bagi persiapan tugasan menyelamat serta bantuan mengahadapi monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini.
“Terima kasih kerajaan negeri memberi keutamaan kepada barisan hadapan dan inisiatif ini akan diteruskan sehingga lengkap terpasuk ahli keluarga anggota,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Kommisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suntikan dos penggalak mula diberikan pada tujuh pegawai di Dewan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Tambah beliau, hampir kesemua pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan sudah lengkap menerima dos kedua vaksin.
“Walau bagaimanapun ada tiga kes anggota yang belum menerima vaksin aras faktor kesihatan.
“Sebilangan kes terpencil yang masih belum mendapatkan vaksin kerana masih perlu mendapatkan kebenaran doktor berikutan menghidapi penyakit berisiko,” katanya. -MalaysiaGazette