Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan kenapa beliau dipersalahkan dalam cadangan kerajaan menukar kereta untuk kegunaan menteri daripada Proton Perdana kepada Toyota Vellfire.

Kata Ahli Parlimen Pekan itu, orang ramai sepatutnya mengajukan persoalan itu kepada Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ini kerana, kata beliau, yang mencadangkan pembelian Toyota Vellfire untuk menteri dibuat pada Januari 2020 iaitu ketika kerajaan Perdana Menteri ketujuh.

“Kenapa salah Najib pulak? Yang cadang Vellfire untuk menteri pada bulan Januari 2020, kerajaan PM7.

“Yang akhirnya mula ganti dengan Vellfire pada bulan April 2021 semasa darurat dan tak ada parlimen, kerajaan PM8.

“Nak tanya, tanyalah pada Atok dengan Abah kau,” sindir beliau menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Najib mengulas laporan beberapa blogger pro parti tertentu cuba memutar belit fakta pembelian kereta mewah itu dengan mengaitkan dirinya.

Antara laporan itu ialah, “Teringat dulu, Najib Razak memerli kerajaan pada tahun 2020 sebab menteri kerajaan nak pakai Vellfire. Sampai mereka pun tak jadi beli. Pakai saja Proton yang ada.

“Dua hari lepas, dalam Parlimen, confirm MOF (Kementerian Kewangan) cakap kerajaan tukar kereta menteri ke Vellfire. Namun, Bosskur membisu saja. Typical,” lapor blogger berkenaan.

Semalam, Dewan Rakyat dikejutkan dengan jawapan bertulis Menteri Kewangan yang mengaku kerajaan telah menukar kereta rasmi baharu pada saat rakyat sedang bergelut dengan kos kehidupan.

Bukan calang-calang kereta yang ditukar, kereta yang menjadi pilihan kerajaan ialah kereta mewah Toyota Vellfire 2.5L.

Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengakui, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam proses menggantikan Proton Perdana kepada Toyota Vellfire sebagai kereta rasmi menteri.

Mengulas lanjut, Najib berkata, penggantian kenderaan itu pada April lalu adalah pada era kepimpinan Muhyiddin yang ketika itu menyatakan, kerajaan sudah tidak (ada) banyak duit lagi untuk bantu rakyat selepas membelanjakan RM600 bilion. – MalaysiaGazette