KUALA LUMPUR – Sejumlah 22,417,059 individu atau 95.8 peratus kadar populasi dewasa di negara ini lengkap menerima dos vaksinasi COVID-19, setakat 11.59 malam tadi.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, sejumlah 97.8 peratus atau 22,893,173 individu bagi populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Sejumlah 41,391 dos suntikan vaksin diberikan semalam melibatkan 18,162 suntikan dos lengkap, 2,864 menerima dos pertama dan 20,365 pula menerima suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 50,462,307.
Setakat semalam juga, sebanyak 2,208,399 atau 70.2 peratus individu bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksin manakala 83.4 peratus atau 2,623,303 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Selain itu, jumlah kumulatif dos penggalak pula kini sebanyak 492,054. – MalaysiaGazette