KUALA LUMPUR – Keprihatinan Institusi Raja-Raja untuk bangkit bersuara menentang amalan dan perbuatan rasuah dalam negara membuktikan Raja-Raja Melayu bukan boneka.

Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador yang gembira melihat perkembangan semasa ini menyifatkan penentangan raja-raja terhadap amalan rasuah ini adalah semangat Raja Berperlembagaan.

“Apabila berlaku perbalahan di sana sini, indeks rasuah naik, macam-macam berlaku, tiba masanya raja-raja bangkit.

“Mereka bukan boneka. Mereka ada perasaan dan sanggup berdiri dengan lantang mengatakan perkara ini perlu dihentikan,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan Sesi Perkongsian Integriti FSSK Siri 1/2021 bertajuk ‘Pembudayaan Integriti Tingkat Reputasi’ sempena Sambutan Intergriti 2021 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),yang disiarkan menerusi Facebook Live.

Tambah beliau, sudah tiba masanya masyarakat pelbagai latar belakang dalam negara ini termasuklah ahli politik turut sedar bahawa amalan rasuah akan menjatuhkan negara.

“Sudah tiba masanya satu bentuk kesedaran yang betul-betul jitu datang dalam diri baik dalam kalangan pegawai tinggi kerajaan, pemimpin politik, usahawan, tokoh-tokoh, peniaga bahawa rasuah adalah suatu perkara jahat yang akan menjatuhkan tamadun dan negara,” jelas Abdul Hamid.

Terdahulu, beliau berkata, rasuah tidak hanya boleh dikaitkan dengan anggota polis yang berpendapatan rendah.

Sebaliknya, dedah beliau, perbuatan itu berpunca daripada individu yang gagal mengawal rasa tamak dan hilang kawalan semasa menjalankan amanah dan kuasa yang diberikan.

“Ada pihak mengatakan apabila gaji rendah menggalakkan kepada salah laku (rasuah) tetapi pada saya kenapa tidak semua polis jadi macam tu. Korup? Hanya sebahagian sahaja yang begitu? Padahal mereka juga tinggal di berek yang sama.

“Oleh itu, perkara yang menjurus kepada rasuah ini subjektif sebenarnya.

“Mereka yang tamak dan rakus sahaja melakukan perbuatan terkutuk ini, bukan bagi mereka yang mempunyai iman kuat,” ujarnya sambil menambah mereka yang berkuasa memang cenderung untuk menyalahgunakan kuasa.

“Kuasa yang diberikan untuk kita duduk di atas  tapi kalau kita salah gunakan, kita boleh buat duit haram banyak.

”Tapi kalau kita seorang yang insaf, sedar diri, kita tidak akan mabuk kuasa,” tegas beliau. – MalaysiaGazette