Rokok putih bernilai RM3.2 juta yang diseludup masuk di Pelabuhan Klang berjaya dilumpuhkan katsma Zin Tengah Selangor 6 Julai 2021. - Gambar kredit JKDM

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu segera menangani isu-isu berkaitan
pengurusan fiscal, terutama dalam soal ketirisan atau kehilangan hasil daripada cukai, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan mengelakkan kebergantungan kepada berhutang dengan pihak luar.

Ketua Pengarah Badan pemikir Datametrics Research and Information Sdn Bhd (DARE),
Pankaj Kumar berkata, Kerajaan Malaysia perlu menaikkan siling hutang statutori kepada 65% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar bagi membiayai peruntukan Bajet 2002 yang terbesar dalam sejarah negara sebanyak RM332.1 bilion.

Siling tersebut dijangka dapat dikekalkan di masa hadapan dengan unjuran perbelanjaan
pembangunan kerajaan sebanyak RM400 bilion di dalam Rancangan Malaysia ke-12 untuk
menganjak ekonomi negara ke tahap seterusnya.

“Sementara perbelanjaan Kerajaan pada skala yang begitu besar ini amat diperlukan dan tepat pada masanya bagi memulihkan ekonomi akibat pandemik Covid-19, kita tidak mampu untuk terus-menerus bergantung kepada pinjaman dana untuk membiayai pertumbuhan,’’ kata beliau.

Menurut Pankaj, kini masanya lebih kritikal bagi kerajaan untuk memantau perbelanjaan
dengan cermat dan menutup ketirisan hasil perolehan negara seperti ekonomi gelap yang
bernilai RM300 bilion mengakibatkan kerajaan kehilangan sekurang-kurangnya RM33 bilion setahun dari segi hasil cukai yang tidak dikutip.

“Bajet 2021 tahun lalu mengumumkan langkah tegas bagi membanteras perdagangan haram rokok seludup, yang menyebabkan Kerajaan kerugian RM5 bilion setahun
dari segi cukai yang tidak dikutip.

”Undang-undang melarang penghantaran dan penggunaan bot kecil bagi mengeksport atau mengimport produk rokok telah berjalan baik bagi menurunkan paras jualan rokok seludup buat pertama kalinya sejak 2015.

“Namun Bajet 2022 pula tidak menyatakan sebarang perundangan khusus bagi mengekang ekonomi gelap, pengekalan terhadap cukai eksais bagi produk haram (rokok, arak) merupakan keputusan bijak bagi memastikan sindiket jenayah tidak mengaut keuntungan,’’ tambah beliau.

Dengan pembukaan sempadan dan rentas negeri dibenarkan semula, kerajaan menerusi
agensi penguatkuasaannya hendaklah lebih waspada di dalam usaha mengekang perdagangan pasaran gelap seperti jualan rokok seludup, yang dijangka meningkat lagi disebabkan penurunan pendapatan oleh ramai rakyat akibat Covid-19, jelas Pankaj.

Tambahnya, Laporan DARE bertajuk Winning The War On Tobacco Black Market diterbitkan pada Oktober 2021 mengetengahkan keperluan menangani kemasukan kontraban di pelbagai pusat pendaratan di sepanjang pesisir pantai negara ini.

Oleh itu, usaha bersepadu daripada agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kastam dan Tentera Laut diperlukan bagi membendung perdagangan haram itu.

Laporan tersebut turut mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi menangani amalan rasuah yang mengehadkan keupayaan Malaysia untuk kekal berdaya saing.

‘’Dengan ini, ia bukan sahaja membantu menambah baik kedudukan negara di mata antarabangsa tetapi juga menangani perdagangan haram di pasaran,’’ kata Pankaj. – MalaysiaGazette