Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati dengan kecenderungan meningkat minggu depan dan indeks petunjuk pasaran diunjur berada dalam jajaran 1,525 hingga 1,530 mata, kata seorang peniaga.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, bursa tempatan dijangka menarik minat belian memandangkan ekonomi diunjur kembali pulih susulan pembukaan semula pelbagai sektor.

Beliau berkata, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan penurunan ketara semasa minggu yang baru berakhir ini susulan pengumuman Cukai Makmur semasa pembentangan Bajet 2022 pada minggu sebelumnya.

“Walaupun begitu, penurunan FBM KLCI itu adalah sejajar dengan petunjuk teknikal yang membayangkan barometer ekuiti telahpun memasuki fasa terlebih belian sebelum pengumuman belanjawan.

“Dalam erti kata lain, pasaran bersiap sedia bagi pembentulan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu depan, katanya, tumpuan akan terarah kepada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan poin data dari Amerika Syarikat bagi mencari hala tuju pasaran.

“Pasaran menunggu bukti tambahan bahawa kadar dana persekutuan akan dinaikkan tahun depan. Ini boleh menjadi rumit kerana ekuiti cenderung menjadi negatif dengan berita langkah mengetatkan monetari,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berpendapat,  pasaran tempatan dijangka kekal berada dalam tekanan jualan dalam tempoh jangka pendek berikutan aliran keluar dana asing.

“Kami menjangkakan FBM KLCI bergerak sekitar jajaran 1,520 hingga 1,560 pada minggu depan memandangkan peningkatan kemeruapan.

“Dari sudut teknikal, sokongan segera tidak berubah pada 1,520 manakala paras ketahanan pada 1,565,” katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, indeks petunjuk pasaran turun 30.58 mata untuk ditutup minggu ini pada 1,531.73 daripada 1,562.31 sebelumnya.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup pada Khamis sempena cuti umum perayaan Deepavali.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 194.87 mata kepada 11,364.13, Indeks FBMT100 susut 198.16 mata kepada 10,990.93, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 179.85 mata kepada 12,411.74.

FBM 70 turun 189.85 mata kepada 15,112.52, manakala FBM ACE meningkat 28.32 mata kepada 7,124.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 422.33 mata kepada 15,166.88,Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 4.23 mata kepada 202.56 dan Indeks Tenaga jatuh 18.28 mata kepada 782.62.

Indeks Perladangan berkurangan 62.25 mata kepada 6,726.57, Indeks Penjagaan Kesihatan susut 29.49 mata kepada 2,413.65 tetapi Indeks Teknologi meningkat 1.64 mata kepada 100.64.

Bagi minggu dagangan singkat ini, jumlah dagangan mingguan turun kepada 13.70 bilion unit bernilai  RM10.61 bilion daripada 18.8 bilion unit bernilai RM12.42 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 9.07 bilion saham bernilai RM9.18 bilion daripada 12.16 billon saham bernilai RM10.72 bilion.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.25 bilion unit bernilai RM211.44 juta daripada 1.30 bilion unit bernilai RM206.56 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 3.36 bilion saham bernilai RM1.22 bilion daripada 5.31 bilion saham bernilai RM1.50 bilion pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast