KUALA LUMPUR – Dua pasangan beregu remaja negara, Justin Hoh-Ong Tzen Yi dan Mohd. Fazriq Razif-Wong Vin Sean menampilkan aksi cemerlang apabila berjaya melangkah ke separuh akhir badminton Antarabangsa Hungary di Budaors, malam tadi.
Kedua-dua pasangan lelaki negara yang memulakan kempen dari pusingan kelayakan itu berjaya mengalahkan lawannya yang lebih berpengalaman pada dua perlawanan yang berlangsung pada hari sama.
Justin-Tzen Yi mudah menyingkirkan pilihan keempat dari Bulgaria, Ivan Rusev-Iliyan Stoynov 21-17, 21-9 pada pusingan kedua sebelum menumpaskan Sebastian Bugtrup-Mikkel Stoffersen dari Denmark 21-17, 21-19 di suku akhir.
Ujian getir bakal menanti beregu muda negara itu dalam separuh akhir malam ini apabila berdepan pilihan utama, Rory Easton-Zach Russ dari England.
Sementara itu, Mohd. Fazriq-Vin Sean yang baru digandingkan bulan lalu meraih tiket separuh akhir selepas mengalahkan Utkarsh Arora-Akshan Shetty dari India 21-13, 21-18.
Fazriq anak kepada legenda beregu, Datuk Razif Sidek dan Vin Sean sebelum itu turut menumpaskan pasangan Scotland, Joshua Apiliga-Callum Smith 21-18, 15-21, 21-8 di pusingan kedua.
Pilihan ketiga dari Denmark, Emil Lauritzen-Mads Vestergaard bakal menjadi halangan terbesar beregu negara itu untuk memburu tiket final. – MalaysiaGazette