Prof. Madya Dr. Fadlan Mohd Othman.

KUALA LUMPUR – Al-Madinah International University (Mediu) menghargai peranan media yang memainkan peranan penting sebagai platform kepada institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Ketua Eksekutif Mediu, Prof. Madya Dr. Fadlan Mohd Othman berkata, artikel dan foto yang diterbitkan oleh pengamal media wajar didokumentasi dan dipamerkan sebagai rujukan kepada generasi pada masa akan datang.

Jelas beliau, hubungan IPT dan organisasi media pada hari ini amat penting dalam melengkapi keperluan antara satu sama lain dan perlu dieratkan lagi.

“IPT dan dan media adalah dua entiti yang tidak boleh dipisahkan malah perlu dieratkan. Ini kerana IPT kadang-kadang memiliki pandangan peribadi dan ilmu namun untuk disampaikan kepada orang ramai kita tidak ada medium yang kuat seperti media.

“IPT dan media dapat bekerja dalam banyak perkara yang boleh disampaikan seperti kepakaran dan khidmat ilmiah kepada masyarakat selain sekiranya pihak media juga ingin mendapat pendapat daripada pensyarah yang pakar mengenai sesuatu isu.

“Selain itu, pihak IPT juga memiliki kepakaran dalam terjemahan bahasa asing seperti Arab di mana pensyarah sering dipanggil untuk mengendalikan forum antarabangsa,” katanya.

Mediu kini menubuhkan Galeri Media@Mediu di kampus utamanya di Desa Petaling yang menghimpunkan lebih 100 artikel yang pernah disiarkan oleh organisasi media cetak dan sosial sejak penubuhannya pada 2007.

Mengulas lanjut, Fadhlan memberitahu, idea penubuhan galeri itu sudah lama dalam perancangan namun tidak dapat dilaksanakan atas beberapa faktor.

Antaranya jelas beliau kerana perpindahan dari Kampus Shah Alam ke Kampus Desa Petaling dan pandemik Covid-19.

“Kami berharap agar sesi kemasukan pada Februari depan, galeri akan lengkap sepenuh dengan artikel yang dipamerkan agar kronologi penubuhan Mediu dapat menjadi rujukan dan pameran kepada pelajar baharu dan orang ramai.

“Mediu juga bertuah kerana sering mendapat liputan daripada pihak media berdasarkan penubuhannya yang melibatkan ‘kerajaan kepada kerajaan’ dan pemimpin utama antara Malaysia dan Arab Saudi,” katanya.

Mediu kini mempunyai lebih 4,000 orang pelajar yang sedang mengikuti pengajian di kampus secara konvesional dan secara jarak jauh atau atas talian terdiri 90 buah negara dengan penyediaan lebih 80 kursus akademik yang telah memperolehi akradetasi dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Mediu ditubuhkan sejak 2007 sebagai sebuah universiti antarabangsa di Shah Alam sebelum berpindah ke Desa Petaling pada 2018.

IPT yang ditubuhkan hasil kerjasama Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi adalah sebagai universiti berkonsep wakaf yang ketika itu dikenali universiti maya atau dalam talian sebelum memulakan pengajian dalam kampus pada 2010.

Misi Mediu adalah pendidikan berlandaskan Islam berteraskan pengajian Islam dan Bahasa Arab untuk menjadikan Bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dan mengembalikan kepentingan itu sebagai bahasa ilmu di zaman keagongan Islam di Eropah sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast