Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN – Seorang peneroka berputih mata apabila kehilangan RM26,060 apabila jiran yang diharapnya menjaga duit pampasan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) lesap menerusi 23 transaksi.

Ketua Bahagian Jabatan Sisasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian berlaku pada Februari lalu apabila mangsa memberikan kad bank kepada suspek untuk memeriksa duit pampasan di dalam akaun.

“Pengadu telah terima panggilan daripada anak saudara pengadu mengatakan duit pampasan ECRL telah masuk ke dalam akaun.

“Pada 16 Februari 2021, pengadu meminta tolong jiran pengadu memeriksa duit pampasan tersebut sama ada telah masuk ataupun belum namun jirannya memberi pelbagai alasan sekiranya pengadu bertanya tentang status duit tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Jiran wanita itu telah memegang kad bank milik pengadu selama sebulan, ujarnya.

Namun pada 30 Mac, mangsa berasa tidak sedap hati dan berjumpa dengannya serta  meminta kad bank tersebut lalu beliau menyerahkannya, tambahnya.

Menurut Mohd Wazir, pada Julai lalu, mangsa meminta tolong anak saudaranya untuk memeriksa baki dalam akaun dan beliau diberitahu baki akaun telah berkurangan.

Jelas beliau, sejak itu anak saudara mangsa menguruskan akaunnya dan berjumpa jiran mangsa tidak menerima wang untuk setiap pengeluaran yang dibuat.

Berikutan itu pada 18 Oktober lalu, mangsa pergi ke bank untuk meminta penyata bank dan hasil semakan mendapati terdapat 23 kali pengeluaran.

“Pengadu hadir ke Balai Polis Kuantan untuk membuat laporan kerana tidak berpuas hati dan menyedari dirinya telah ditipu,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang peniaga wanita kerugian RM49,7000 apabila terlibat dalam bayaran balik yang dilakukan sindiket kad kredit tidak wujud.

Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang ketika itu berada di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) telah diperdaya menerusi panggilan telefon oleh individu yang menyamar sebagai pegawai bank.

“Pada 5 November 2021, jam 10.17 pagi, semasa pengadu berada di Wad 2C HTAA telah terima panggilan daripada nombor telefon yang tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai kaiktangan bank.

“Suspek telah memberitahu bahawa pengadu ada berhutang transaksi sebanyak dua kali iaitu RM5,468 dengan RM5,860 melalui kad kredit platinum mastercard untuk urusan pembelian,” ujarnya.

Meskipun mangsa berusia 43 tahun itu menafikan beliau memiliki kad kredit daripada bank terbabit, suspek memintanya memasukkan duit ke dalam akaun yang diberikan.

Namun Mohd Wazir berkata, mangsa telah memasukkan duit sebanyak enam kali berjumlah RM49,7000.

“Ekoran daripada kejadian tersebut pengadu berasa telah ditipu tampil ke balai membuat laporan polis, dan kes masih dalam siasatan lanjut,” katanya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast