Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – UMNO menyarankan agar kerajaan memastikan rangkaian sistem komputer sentiasa berada pada tahap yang tertinggi bagi menjamin keselamatan data dan maklumat peribadi selamat daripada ancaman penggodam.

Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan berkata, parti itu menyambut baik usaha kerajaan untuk membudayakan konsep tanpa kertas dalam perkhidmatan awam sebagai satu langkah pemodenan dalam urusan pentadbiran.

“Soal ancaman siber sentiasa wujud sama ada cloud storage atau physical server. Yang penting ialah sistem yang di aplikasikan meletakkan tahap keselamatan tinggi.

“Banyak syarikat antarabangsa dan tempatan yang mampu melaksanakan perkara tersebut, dengan kemas kini dari semasa ke semasa berasaskan ancaman penggodaman terbaru yang tidak akan terhenti.

Itulah realiti dunia sekarang dan semua negara wajar menyesuaikan diri dengan realiti ini baik di peringkat sektor swasta mahupun awam,’ katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentang Bajet 2022 berkata, kerajaan menyasarkan penggunaan 80 peratus cloud storage dalam perkhidmatan awam pada tahun depan sebagai satu usaha untuk meningkatkan usaha penggunaan pengkomputeran awan bagi membudayakan konsep tanpa kertas.

Dalam pada itu Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhamad Rafii menggesa kerajaan merangka satu langkah bagi memastikan tahap keselamatan sistem rangkaian internet dan data pengguna di negara ini terjamin.

Gesaan itu dibuat ekoran laporan media antarabangsa berhubung peningkatan kes penggodaman yang melibatkan data-data penting dan sulit terhadap beberapa agensi kerajaan dari pelbagai negara sebelum ini.

Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii

“Kita pun tak tahu siapa dalang sebenarnya di sebalik perkara ini, walau bagaimanapun ia harus dilihat sebagai satu isu yang penting kerana mampu mengganggu gugat kedaulatan dan keselamatan negara, maka satu tindakan berjaga-jaga perlu dilakukan agar perkara yang sama seperti itu tidak berlaku di negara ini.

“Ini pastinya akan memberi impak kepada negara jadi program keselamatan siber (cybersecurity) kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia sepatutnya lebih berjaga-jaga dengan memastikan tahap keselamatan pelayan komputer (server) yang berkepentingan tinggi seperti KDN dan sebagainya berada pada tahap cukup terkawal,” ujarnya.

Mohd Razlan turut mencadangkan agar satu bajet khas diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri digunakan bagi meningkatkan keupayaan keselamatan siber khususnya yang melibatkan data dan rahsia kerajaan.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebelum ini melaporkan hampir 84 peratus perusahaan kecil dan sederjana (PKS) di negara ini telah diserang dan menerima ancaman siber. -MalaysiaGazette