Bendera Negeri Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 OKTOBER 2021.

MELAKA – Berbaki beberapa jam sebelum senarai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dimukmatadkan, rata-rata pengundi di negeri ini mengharapkan wakil rakyat muda, bertenaga, dan berpendidikan diketengahkan parti politik bertanding untuk memacu ekonomi negeri pasca pandemik Covid-19.

Bagi mereka, ‘kelibat calon yang sering dilihat’ menjadi ukuran utama untuk dipilih menjadi wakil rakyat dan bukannya dinilai berdasarkan warna parti yang diwakili.

Peniaga kek, Hannan Sh Mubarak, 28, berkata, dia mahukan calon muda yang berwawasan, tidak kekok bergaul dengan masyarakat serta mengotakan apa yang dicanang dan bukannya ‘muka setahun sekali’ untuk diketengahkan.

Hannan Sh Mubarak

“Bagi saya, tentulah akan pilih calon yang sudah biasa dilihat sebelum ini dan bukannya mereka yang tidak pernah dilihat kelibatnya walaupun diwakili parti yang besar.

“Presiden parti perlu tampilkan calon yang muda, berpendidikan dan paling penting tidak suka melompat-lompat kerusi demi kepentingan sendiri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Pandangan sama disuarakan ibu tunggal, Bedah Kaut, 62, yang mengharapkan calon wakil rakyat yang mampu merasai nadi rakyat sepanjang masa terutamanya di era pasca pandemik Covid-19.

Bedah Kaut

“Kena seiring antara berpelajaran dan selalu turun padang kerana tak guna juga kalau rancangan hanya nampak cantik di atas kertas, tapi gagal dilaksanakan.

“Jangan jadi macam tin kosong, geraknya sikit bunyi sahaja kuat,” katanya yang tidak sabar untuk mengundi di DUN Bukit Katil 20 November ini.

Bagi guru tadika swasta, Casey Phaik Suan, 51, calon yang bertanding kali ini perlu dalam kalangan mereka yang berpelajaran kerana cabaran menguruskan kawasan amat besar di era pasca pandemik COVID-19.

“Ini merupakan satu cabaran yang amat besar kerana usaha memulihkan ekonomi perlu dibuat secara menyeluruh merangkumi semua peringkat rakyat daripada penjaja jalanan sehinggalah golongan profesional.

“Paling penting, wakil rakyat yang bakal dipilih perlu mempunyai hubungan yang baik di peringkat Persekutuan bagi memastikan segala rancangan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat direaliasikan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon 8 November dan undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN- Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas- Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (PPB- Telok Mas).

Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai komponen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPPBM), Pas dan Parti Gerakan Nasional (Gerakan) serta parti komponen lain pula dijangka membuat pengumuman rasmi senarai calon bertanding, esok.

Pengumuman difahamkan akan dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BN pula difahamkan akan membuat senarai nama calon bertanding di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini.

Pakatan Harapan (PH) yang menggabungkan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) juga akan mengumumkan senarai calon bertanding, selewat-lewatnya Ahad ini. – MalaysiaGazette