Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang pesara kehilangan RM184,400 dalam akaun bank miliknya selepas menerima aduan tuntutan takaful yang tidak wujud daripada pegawai bank palsu.

Ketua Bahagian Jabatan Sisasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian disedari selepas mangsa menukar kad bank miliknya serta mengemas kini nombor telefon.

Modus operandi suspek memperdaya pengadu dengan menyamar sebagai pihak bank dan polis sehingga pengadu memasukkan wang ke dalam akaun suspek

“Pada 20 September 2021, jam 12.30 tengah hari semasa pengadu berada di rumah telah menerima panggilan telefon daripada pihak takaful memaklumkan  pengadu ada individu yang menuntut wang takaful di atas nama pengadu.

“Pengadu menafikan perkara tersebut kemudian pengadu diminta untuk membuat laporan penafian dan telah disambungkan ke pihak polis, katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Wazir, pengadu kemudiannya diminta untuk menukar kad ATM Bank Rakyat miliknya dan telah mengemaskini nombor telefon.

Walau bagaimanapu pada 5 November 2021, pengadu telah membuat semakan ke atas akaun Bank Rakyat miliknya telah berkurang sebanyak RM 184,400.

Menurut rekod, sebanyak 25 transaksi dimasukkan ke akaun lain bermula pada tarikh 28 sehingga 29 September 2021,” tambah beliau.

Apabila pengadu telah menyedari dirinya telah ditipu, pengadu hadir ke Balai Polis Kuantan untuk membuat laporan.

Kata Wazir, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette