Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid

IPOH – Polis menafikan pihaknya tidak mengambil tindakan berhubung aduan mengenai ancaman keselamatan yang dikatakan berpunca daripada masalah rumahtangga, yang ditularkan menerusi media sosial Tiktok oleh seorang wanita menggunakan nama Zoeybaddiuskamaruzaman.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semakan mendapati pengadu ada membuat aduan dengan menghubungi Balai Polis Kampung Rapat, di sini, mengenai sebuah kenderaan mencurigakan berlegar-legar di kawasan rumahnya kira-kira pukul 7.15 pagi semalam.

Beliau berkata, komen-komen negatif yang dilemparkan pengadu melalui video itu yang menyatakan pihak polis tidak mengambil tindakan terhadap aduan beliau, adalah tidak tepat dan tidak adil kepada pihak polis.

“Pegawai polis yang sampai di lokasi telah membuat pemantauan dan pemeriksaan di tempat kejadian serta mendapati tiada kenderaan mahupun individu mencurigakan seperti aduan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan lanjut mendapati pengadu pernah membuat enam laporan polis mengenai masalah rumahtangga dan satu laporan polis mengenai peranti komunikasi digodam pada tahun ini namun tindakan sewajarnya telah diambil terhadap kesemua laporan itu.

Mior Faridalathrash berkata, bagi memastikan keselamatan pengadu, pihak polis telah menghantar pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Ipoh ke rumah pengadu bagi membantunya namun wanita itu enggan memberikan kerjasama.

“Pihak polis daerah Ipoh juga telah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi mengadakan lawatan kebajikan bersama ke rumah pengadu,” katanya.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran masyarakat.

Video yang dimuat naik semalam itu memaparkan seorang wanita yang memegang bayi, mendakwa dia berasa terancam susulan masalah berkaitan rumahtangga, dan tiada bantuan diterimanya setelah menghubungi balai polis berdekatan.

Video itu memperoleh lebih 900,000 tontonan, lebih 2,000 komen dan lebih 7,000 perkongsian. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast