Pengunjung pusat peranginan Bukit Bendera, Pulau Pinang terkandas susulan perkhidmatan kereta api funikular mengalami gangguan hari ini.

GEORGE TOWN – Pengunjung pusat peranginan Bukit Bendera di sini dilaporkan terkandas susulan perkhidmatan kereta api funikular mengalami gangguan sekali lagi hari ini.

Difahamkan, ia merupakan insiden kedua kereta api itu mengalami gangguan selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, rata-rata pengunjung menyatakan kekecewaan mereka apabila terpaksa menunggu hampir tiga jam untuk perkhidmatan itu kembali pulih.

Menurut pemilik Facebook Azrin Zubit, lawatannya ke pusat peranginan itu menjadi singkat susulan perkhidmatan kereta api tersebut tergendala.

Perkongsian Azrin di Facebooknya.

“Penjarakan fizikal ke laut, pihak berkuasa pula menyorok jadi pandai-pandailah masing-masing (pengunjung) nak turun.

“Beli tiket laluan cepat pun tiada benefit,” tulisnya di Facebook hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Mohd Shakir Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul  4.49 petang berhubung perkhidmatan kereta api funikular mengalami gangguan.

“Kita dimaklumkan kereta api itu dipercayai terhenti akibat sistem elektronik mengalami kerosakan.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong hadir ke lokasi bagi melakukan pemantauan.

“Namun sebaik anggota tiba, pihak pengurusan pusat peranginan itu memaklumkan bahawa perkhidmatan berkenaan sudah pulih dan kembali beroperasi.

“Pihak pengurusan juga memaklumkan mereka mengurangkan kapasiti penumpang daripada 80 kepada 50 orang bagi meringankan kereta api,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohd Shakir, pihak bomba kemudian melakukan pemantauan di sekitar lokasi bagi memastikan keadaan dan tahap keselamatan orang awam terkawal.

Sebelum ini, perkhidmatan kereta api funikular itu dilaporkan tergendala pada 15 Oktober lalu dan menyebabkan 180 penumpang terkandas selama dua jam. – MalaysiaGazette