Parti Iman akan meletakkan seorang calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan pada 20 November ini.

KUALA LUMPUR – Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) mencipta sejarah apabila menjadi parti India Muslim pertama akan bertanding dalam pilihan raya di negara ini.

Presiden Iman, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak berkata, parti itu akan meletakkan seorang calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan pada 20 November ini.

Beliau berkata, calon Iman iaitu Abdul Aziz Osani Kasim merupakan anak tempatan yang dikenali ramai di kawasan itu.

“Sebagai parti politik, Iman perlu bertanding pada PRN Melaka dan menguji kekuatan walaupun pada mulanya Iman tidak setuju PRN diadakan.

“Memandangkan ini kali pertama Iman bertanding, kami memiliki strategi untuk berdepan parti gergasi besar dan berharap pengundi Machap Jaya akan membuat keputusan tepat dengan mengundi Iman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman calon Iman pada PRN Melaka yang disiarkan secara langsung di Facebook parti itu hari ini.

Ketika ini, terdapat satu lagi parti India Muslim di negara ini iaitu Kongres India Muslim (KIMMA) namun ia tidak pernah bertanding dalam PRN atau Pilihan Raya Umum sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mohammed Mosin berkata, pucuk pimpinan Iman pada awalnya telah menerima enam nama dari kepimpinan IMAN Melaka untuk dicalonkan.

Namun jelas beliau, selepas melalui proses tapisan, hanya nama calon dari Machap Jaya memenuhi kriteria di mana merupakan anak tempatan yang dikenali masyarakat Melayu, India dan Cina.

“Jadi Iman bersetuju bertanding di kerusi Machap Jaya kerana Abdul Aziz cukup dikenali dan sentiasa membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

“Walaupun Iman parti politik minoriti, kami sentiasa menjaga kebajikan semua kaum tanpa mengira parti politik selama ini,” katanya.

Sementara itu, Iman yang sebelum ini dikenali Parti India Muslim Bersatu Malaysia (PBIM) ditubuhkan pada 2019 bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat India Muslim bertitik tolak daripada kekecewaan masyarakat itu bahawa tiada parti untuk membela nasib mereka.

Namun pada September tahun lalu, PBIM meminda perlembagaan parti dengan menukar nama kepada Parti Perikatan India Muslim Nasional atau Iman.

Iman kini memiliki lebih 13,000 ahli di seluruh negara kecuali Sarawak. – MalaysiaGazette