KUALA LUMPUR – Pelabur asing masih kekal menjadi pembeli ekuiti tempatan untuk minggu kelima, melonjak kepada RM67.94 juta pada minggu lepas berbanding RM1.44 juta pada minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata, semasa pasaran dibuka semula Isnin lalu, pelabur institusi dan runcit, masing-masing adalah penjual bersih dan pembeli bersih berjumlah RM329.7 juta dan RM314.3 juta.

Pelabur asing adalah pembeli bersih berjumlah RM14.97 juta walaupun sentimen bertukar negatif berikutan pengumuman Cukai Makmur di bawah Bajet 2022.

“Nampaknya pelabur asing tidak terganggu dengan pengumuman itu dan terus menjadi pembeli bersih pasaran tempatan,” katanya.

MIDF Research menambah, pelabur asing juga adalah pembeli bersih untuk majoriti minggu lepas.

Menurutnya, aliran masuk asing terbesar direkodkan pada Jumaat lepas dan aliran keluar terbesar pada Rabu lalu, masing-masing berjumlah RM87.07 juta dan RM94.2 juta.

Pelabur runcit adalah pembeli bersih setiap hari sepanjang minggu, kata firma penyelidikan tersebut.

“Belian bersih terbesar direkodkan pada Isnin dan paling sedikit pada hari Selasa masing-masing kepada RM314.3 juta dan RM322.22 juta,” kata MIDF Research.

Sepanjang minggu itu, pelabur runcit membeli sebanyak 469.34 ekuiti di bursa manakala pelabur institusi pula merekodkan kumulatif jualan bersih RM536.82 juta.

Tambahnya, pelabur institusi tempatan adalah penjual bersih selama tiga hari dalam minggu pada dagangan empat hari, dengan jualan bersih terbesar pada Isnin lalu berjumlah RM329.7 juta dan aliran keluar bersih terkecil pada Selasa lalu berjumlah RM92.06 juta.

Sejak awal 2021, secara kumulatif, peruncit merupakan satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti tempatan dengan nilai RM11.17 bilion.

Pelabur institusi tempatan dan pelabur asing merupakan penjual bersih masing-masing berjumlah RM9.06 bilion dan RM2.11 bilion.

Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing mencatat pergerakan mingguan masing-masing sebanyak -22.04%, -10.17% dan 11.25% dalam nilai purata dagangan harian.

Prestasi pasaran serantau secara umumnya positif minggu lepas dengan China, Hong Kong, Malaysia dan Jakarta mengalami penurunan pada asas minggu ke minggu.

MIDF Research menambah, defisit perdagangan Amerika Syarikat meningkat kepada paras tertinggi sepanjang masa sebanyak AS$80.9 bilion (kira-kira RM336.22 bilion) pada September (Ogos: -AS$72.8 bilion), disebabkan kedua-dua peningkatan dalam import (+0.6% bulan ke- bulan) dan pengurangan eksport (-3% bulan ke bulan). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast