Shaharizukirnain Abdul Kadir
Shaharizukirnain Abd. Kadir

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memberi perhatian serius kepada pekerja dan majikan dalam sektor informal yang tidak mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd. Kadir, perkara itu akan memberi kesan jangka panjang kepada rakyat kerana apabila bersara, mereka tidak mempunyai simpanan hari tua.

“Jadi, apa langkah keranjaan bagi menggalakkan mereka terlibat dalam sektor informal ini mendaftar dan mencarum dalam KWSP.

“Selain itu, apakah inisiatif kerajaan bagi memastikan isu majikan yang menolak gaji pekerja untuk tujuan caruman, tetapi tiada caruman daripada syarikat dilakukan,” katanya dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen hari ini.

Beliau turut mencadangkan kerajaan agar gaji minimum ditingkatkan lagi daripada RM1,200 kepada kadar yang lebih munasabah bagi menggalak dan meningkatkan lagi caruman KWSP pekerja.

Katanya, berdasarkan statistik, sebanyak 46 peratus pencarum berusia bawah 55 tahun hanya mempunyai caruman kurang RM10,000 dalam simpanan mereka.

Sementara itu, dalam perbahasan itu juga Shaharizukirnain turut membangkitkan cadangan dan saranannya kepada Kementerian Pendidikan sebelum ini agar memberi perhatian terhadap isu kerosakan infrastruktur sekolah.

Menurut beliau, dalam kawasannya sahaja banyak sekolah didapati alami kerosakan infrastruktur seperti dewan, surau, makmal komputer tidak berfungsi dan masih menggunakan peralatan lama.

“Begitu juga padang bola. Sekian lama saya bangkitkan kerosakan padang bola di Sekolah Kebangsaan (SK) Renek, termasuk masih banyak sekolah tidak punyai dewan tertutup atau terbuka yang menyukarkan program melibatkan orang ramai diadakan,” katanya.

Beliau berharap, kerajaan menerusi kementerian terlibat dapat memberi perhatian segera permasalahan dibangkitkan itu, yang memerlukan tindakan segera. – MalaysiaGazette