Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pangerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengemukakan tujuh soalan berhubung pengagihan peruntukan Bajet 2022 bagi setiap negeri dan kawasan Parlimen untuk diteliti oleh Menteri Kewangan.

Daripada penelitiannya, beliau merumuskan bajet itu sungguh mengagumkan tetapi butirannya tidak jelas di mata kasar.

Katanya, pendemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia telah mengajarnya banyak perkara.

“Salah satunya, sebagai ahli Parlimen, keupayaan saya untuk mempengaruhi pelaksanaan pembangunan infrastruktur di kawasan saya sendiri amatlah terhad. Lebih lagi, apabila masyarakat ada masalah, aduan sering dikemukakan kepada pejabat Parlimen.

“Tetapi sering kali saya sendiri tidak mampu memberi maklum balas kerana saya tidak dapat maklum balas yang komprehensif mengenai rancangan pembangunan di Parlimen saya sendiri.

“Belanjawan dikemukakan dengan dokumen yang begitu rumit, dengan garis bajet berjumlah berbilion ringgit. Orang ramai, orang biasa tidak memahami bagaimana belanjawan ini mempengaruhi hidup mereka sebagai individu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Parlimen petang ini.

Menurut Azalina, beliau membuat teguran itu secara ikhlas sebagai seorang ahli Parlimen, begitu juga rakannya sama ada dari blok kerajaan mahu pun pembangkang yang masih di awangan untuk memahami pelaksanaan Bajet 2022.

“Oleh itu, juga ingin kemukakan tujuh soalan kepada menteri. Saya mahu kerajaan menerima hakikat bahawa kita ini adalah sebuah negara hasil tinggalan penjajahan British.

“Bila kita dengar sahabat kita (ahli Parlimen) berbahas, kita akan menyedari bahawa tinggalan daripada penjajah ini menyebabkan berkemungkinan pelaksanaan itu agak berbeza daripada segi kerajaan yang melaksana walaupun orang politik yang membuat dasar,” katanya.

Kata beliau, ahli Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan audit belanjawan di kawasan masing-masing, apatah lagi terlibat dalam proses pengesahan dan pemantauan.

Tujuh soalan itu ialah;

1- Bagaimanakah dalam bajet ini rakyat Pangerang akan dapat manfaat daripada belanjawan dan juga struktur cukai yang diperolehi daripada industri dan perniagaan mega di kawasan Pangerang?

Dalam Parlimen itu mempunyai tiga projek besar dari Petronas dan Khazanah. Jadi, bagaimana rakyat di kawasan Pengerang dapat manfaat daripada kutipan cukai secara langsung atau tidak langsung itu.

2) Adakah Kementerian Kewangan mempunyai strategi untuk mengagihkan dana tanggungjawab sosial korporat daripada industri yang begitu mega secara langsung supaya boleh disalurkan kepada inisiatif penambahbaikan infrastruktur seperti sistem lampu solar percuma, biasiswa pendidikan untuk orang tempatan, menaikkan taraf kemudahan kesihatan seperti klinik kesihatan dan mewujudkan hospital swasta secara percuma kepada orang tempatan dan sebagai contohnya, sistem pengangkutan percuma untuk warga emas.

3) Bilakah ahli-ahli Parlimen diberikan kebenaran untuk mengakses data penting yang dipegang oleh agensi tertentu dalam kawasan mereka? Contohnya, bank data? Ahli Parlimen selalu berdepan dengan masalah data. Semua (maklumat) mereka tidak tahu. Itu yang menjadikan keadaan agak kelam kabut, sebab tanpa bank data bagaimana mereka hendak tahu keberkesanan pendekatan pembangunan yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan pusat dan negeri.

4) Apakah garis masa untuk pelaksanaan Belanjawan 2022. Kenapa tidak kerajaan memanggil mesyuarat khas dalam masa tiga atau empat bulan daripada kelulusan bajet untuk tahun 2022 supaya adanya kenyataan menteri dan mereka di bawah boleh mengetahui serta menilai mengenai kejayaan pelaksanaan yang dibuat oleh kerajaan dan kementerian dalam kawasan mereka secara langsung atau tidak langsung.

5) Adakah Parlimen Pengerang termasuk dalam perancangan RM50 juta yang disebut oleh Menteri Kewangan dengan kewujudan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri bagi meningkatkan taraf kemahiran melalui pendidikan dalam latihan, teknikal dan vokasional (TVET) untuk kira-kira 5,000 pekerja dalam bidang teknikal.

6) Penglibatan ahli Parlimen dalam pelaksanaan program kebajikan masyarakat dan

7) Mengenai peruntukan dana untuk matlamat pembangunan mampan. – MalaysiaGazette