Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2021.

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) mempunyai beberapa lagi calon berwibawa untuk mengisi jawatan Ketua Menteri Melaka sekiranya gabungan itu mendapat kembali mandat daripada pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PH dan Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendekatan untuk menamakan calon bagi jawatan itu tidak pernah dibuat kerana terdapat individu yang boleh diketengahkan selain calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Seri Idris Haron dan calon DUN Bukit Katil, Adly Zahari.

“Ramai calon yang boleh kita ketengahkan dan kita boleh putuskan selepas kemenangan yang pastinya kita mempunyai beberapa calon yang layak dan terbukti pernah mentadbir negeri.

“Adly walaupun 22 bulan rekodnya baik dan disenangi ramai, Idris Haron mentadbir di bawah BN dan sudah pasti berpengalaman tentang rakyat, ada (bekas) Menteri Pusat dan (bekas) Timbalan Menteri Pusat (Pakatan Harapan), ada bersama kita.

“Bukan dua nama itu sahaja, saya percaya mereka boleh jadi calon tapi saya percaya terpulang kepada kepimpinan Majlis Presiden PH untuk membuat konsensus selepas kemenangan,” katanya yang juga Menteri Besar Selangor pada sidang media secara maya yang diadakan secara langsung di laman Facebook gabungan itu, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka, Datuk Halim Bachik.

Semalam, Idris berkata, soal calon Ketua Menteri bukan menjadi agenda utama gabungan tersebut buat masa ini.

Idris yang mengetuai tindakan tiga lagi ADUN Perikatan Nasional (PN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, apa yang penting adalah menang PRN terlebih dahulu.

Amirudin berkata, antara calon-calon yang mampu untuk menggalas tugas Ketua Menteri itu adalah Idris dan Aldy.

“Kita ada dua bekas Ketua Menteri iaitu Idris Haron dan Adly Zahari dan beberapa calon lain yang akan kita calonkan daripada parti, jadi kita menang (PRN Melaka) dan berkelayakan.

“Masing-masing ada pandangan siapa yang layak dan saya rasa ketika 2008 kita juga tidak menamakan satu-satunya calon kita, ada beberapa calon termasuk pengarah pilihan raya.

“Kita sebutkan Datuk Seri Hassan Ali, dan juga Tan Sri Khaled Ibrahim, jadi kita tak namakan. Di PRU14 Negeri Sembilan kita tak namakan nama cuma parti, itu konsensus PH,” katanya.

Sebelum ini, DAP menggesa PH menamakan Adly sebagai calon Ketua Menteri kerana gabungan itu tidak mampu ‘menambah kesilapannya’.

Setiausah Agungnya, Lim Guan Eng berkata. PH telah pun membuat kesilapan apabila menerima Idris dan Nor Azman Hassan yang merupakan bekas ahli UMNO yang mana tindakan mereka telah mengakibatkan kejatuhan kerajaan Melaka. – MalaysiaGazette