BAYAN LEPAS – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberi pertimbangan untuk mengekalkan tanaman milik penduduk di Pintasan Kelicap, di sini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menerima aduan daripada sebahagian penduduk di kawasan berkenaan yang memaklumkan mereka menerima notis daripada MBPP untuk mengalihkan tanaman yang diusahakan mereka sejak 20 tahun lalu.

“Tanaman yang terletak di bahu jalan kawasan perumahan penduduk itu tidak mengganggu keselamatan awam malah ia menjadi zon penampan untuk mencegah kesan pencemaran habuk dan bunyi bising daripada kenderaan yang lalu-lalang di jalan berhampiran.

“CAP menyokong aktiviti pertanian yang dilakukan oleh penduduk-penduduk di sini kerana ia memberikan kesan baik kepada kehidupan mereka serta alam sekitar di kawasan itu.

“Malah usaha ini juga sebagai menjayakan slogan kerajaan negeri iaitu Pulau Pinang, Hijau dan Bersih serta projek pertanian bandar yang dilancarkan oleh kerajaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mohideen menggesa MBPP membatalkan arahan yang dikeluarkan menerusi dua notis pada Oktober lalu demi kebaikan bersama.

“CAP berpendapat, bimbingan dan kerjasama perlu dilaksanakan secara berterusan antara penduduk dengan kerajaan negeri, MBPP serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi mencapai satu kata sepakat,” ujar beliau.

ARTIKEL BERKAITAN

Penduduk kecewa MBPP bagi notis alih tanaman tanpa perbincangan

Pada Ahad lalu, MalaysiaGazette melaporkan, penduduk di Persiaran Kelicap, di sini, kesal dengan keputusan MBPP yang meminta mereka mengalihkan tanaman di bahu jalan berhampiran yang diusahakan mereka sejak 20 tahun lalu.

Rata-rata penduduk meluahkan rasa kecewa dengan notis yang diberikan MBPP pada 18 dan 29 Oktober lalu memandangkan tanaman itu menjadi zon penampan untuk mencegah kesan pencemaran bunyi, habuk serta asap kenderaan di jalan utama yang terletak kira-kira 50 meter dari kediaman mereka. – MalaysiaGazette