Calon muka baharu Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, datuk Rais Yasin membuat pendekatan kreatif 'menjual diri di lokasi tumpuan ramai sepanjang berkempen.

MELAKA – Calon muka baharu Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput membuat pendekatan kreatif ‘menjual diri di lokasi tumpuan ramai sepanjang berkempen.

Tidak cukup pasar malam, pasar pagi selain berjemaah di masjid dan surau kawasannya dijadikan rutin kepadanya.

Datuk Rais Yasin, 37, berkata, langkah itu terpaksa dilakukan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang terlalu ketat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang sudah memasuki hari kedua berkempen hari ini.

“SOP menyebut tidak boleh bertemu pengundi, tidak boleh ceramah kempen seperi kelaziman sebelum ini, jadi saya rasa perlu ada pendekatan kreatif untuk bertemu rakyat.

“Sebab itu saya akan banyakkan aktiviti berbelanja di pasar malam, pasar pagi dan berjemaah di masjid dan surau berlainan seberapa banyak mungkin kerana hanya dengan cara itu secara tidak langsung rakyat dapat mengenali saya lebih dekat.

Rais Yasin

“Tak perlu jentera, saya seorang pun sudah cukup untuk berjemaah di masjid dan surau atau berjalan di tempat-tempat tumpuan ramai itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Krubong Jaya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengedarkan risalah kempen di rumah isteri Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) yang lemas dibawa arus deras ketika menjalankan operasi menyelamat penduduk yang terperangkap dalam banjir di Kampung Sungai Putat 20 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, walaupun merupakan calon baharu, beliau sebenarnya tidak asing dalam kalangan penduduk setempat.

“Berdasarkan gerak kerja yang sudah saya lakukan sejak sebelum musim pilihan raya lagi, saya yakin ramai juga rakyat yang mengenali saya dan selebihnya saya berserah kepada Allah.

“Sebagai anak jati Paya Rumput saya sangat memahami masalah penduduk terutamanya isu banjir yang akan turut diselesaikan sekiranya saya dipilih menjadi wakil rakyat 20 November ini.

“Uniknya, Paya Rumput ini, ia adalah kawasan contoh ‘Keluarga Malaysia’ diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila terdiri daripada komposisi semua kaum dengan 60 peratus Melayu, 30 peratus Cina dan selebihnya India serta kaum lain,” katanya.

DUN Paya Rumput bakal menyaksikan saingan lima penjuru termasuk pencabar terbesar daripada calon Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Akin.

Turut bertanding adalah Mohamad Hashidi Mohd Zin (Putra) Muhammad Faris Izwan Mazlan (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan calon bebas Mohd Jaini Dimon.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast