AYER KEROH – Pemilik Kedai Makan Bawah Pokok Dak Lin Celup Tepung Pantai Siring, Haslinda Musa menafikan pihaknya menutup premisnya sebaik sahaja Datuk Seri Najib Tun Razak menyinggah untuk bersarapan dengan penduduk Merlimau, Melaka.
Haslinda berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali bahkan pada hari kejadian, pihaknya beroperasi seperti biasa.
“Ada isu viral kata akak tutup kedai masa Bossku (Najib) datang kedai, tak layan Datuk, sedangkan itu semua tak betul.
“Hari itu (Ahad) kita berniaga macam biasa, isu viral ini satu fitnah yang melampau, boleh merosakkan nama kedai akak,” katanya dalam satu video klip yang dimuat baik di Facebook rasmi Dak Lin Celup Tepung Pantai Siring, hari ini.
Awal hari ini, video Facebook Live MalaysiaGazette dimanipulasi pihak tertentu kononnya kedai makan itu ditutup sebaik sahaja kehadiran bekas Perdana Menteri di sekitar Pantai Siring, Merlimau, Melaka, Ahad lalu.
Malah video Facebook Live MalaysiaGazette disunting pihak tertentu seolah-olah di bahagian hadapan kedai terbabit ditutup dan dibersihkan pekerja-pekerja.
Menurut Haslinda, memandangkan air laut pasang besar ketika itu, pihaknya tidak dapat meletakkan meja dan kerusi di bawah pokok di pesisir Pantai Siring.
“Masa bossku (Najib) datang, air laut tengah pasang besar, jadi meja di bawah pokok kita tak boleh letak.
“Semua meja dan kedai kita terpaksa letak dalam kedai dan sebelah sungai berdekatan,” katanya.
Katanya lagi, ketika Najib tiba di Pasir Siring, pihaknya terpaksa bergegas membersihkan bahagian dalam kedai susulan bekas Perdana Menteri itu hadir lebih awal daripada jadual asal.
“Sementara kami susun meja itu, Datuk Seri Najib sedang beramah mesra dengan pelanggan-pelanggan akak yang duduk di sebelah sungai.
“Jadi apa yang ditularkan itu semua tak betul, semua fitnah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette