Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti dan Pelancaran Pelan Anti-rasuah Organisasi (OACP) Peringkat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Menara KBS, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 NOVEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Tiada integriti apabila mempunyai kuasa dan peluang merupakan punca penjawat awam terlibat dengan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, berdasarkan statistik pihaknya, penjawat awam adalah kumpulan yang paling ramai ditangkap kerana rasuah.

“Setiap tahun hampir separuh daripada tangkapan keseluruhan SPRM adalah melibatkan penjawat awam. Perkara ini amat menyedihkan saya.

“Amaran saya kepada penjawat awam, SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan rasuah dan salah guna kuasa. Tindakan SPRM adalah tegas dan tidak mengira siapa.

“Malah sekiranya kesalahan dilakukan oleh pegawai saya sendiri, saya akan pastikan tindakan lebih tegas diambil terhadap mereka. Perkara ini telah saya lakukan dalam kes-kes yang lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti dan Pelancaran Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Menara KBS hari ini.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan timbalan menteri, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.

Dalam pada itu, Azam berkata, segala tindakan SPRM dipantau oleh lima badan bebas.

“Mereka akan pastikan segala tindakan SPRM adalah berdasarkan nas undang-undang dan semua tindakan SPRM adalah berasaskan prinsip bebas, telus dan profesional.

“Rasuah dalam perkhidmatan awam mesti dihentikan demi meningkatkan imej kita bersama,” ujarnya.

Sebagai agensi utama dalam pencegahan rasuah, SPRM komited melaksanakan tindakan penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan bagi membanteras segala bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Jelas Azam, tindakan penguatkuasaan adalah tindakan punitif apabila perbuatan rasuah dan salah guna dikesan berlaku.

“Bagi KBS dan agensi-agensi di bawahnya, berdasarkan rekod SPRM pada tahun 2016 hingga 30 September 2021, seramai 27 individu telah ditangkap kerana kesalahan rasuah. Daripada jumlah tersebut, 74 peratus atau 20 tangkapan adalah disebabkan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu.

“Seperti kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawati, aktiviti pendidikan dan pencegahan mesti dilaksanakan bagi mengelak rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa terutama dalam kalangan warga KBS dan agensi-agensi di bawah seliaan KBS,” katanya.

Menerusi ucapannya, Azam turut menyentuh mengenai pembentangan Bajet 2022 di mana kerajaan telah memperuntukkan jumlah kewangan yang agak besar bagi pembangunan belia.

“Perkara ini sudah pasti menggembirakan golongan belia namun KBS dan agensi-agensi di bawahnya perlu berhati-hati dalam hal ehwal pengurusan dana dan bantuan ini. Lebih besar dana yang diperuntukkan, risiko berlaku penyelewengan adalah lebih tinggi.

“Pasti akan ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mengintai peluang, mencari ruang untuk keuntungan poket mereka.

“Justeru, cabaran besar kepada KBS dan agensi-agensinya untuk memastikan segala peruntukan, dana dan bantuan diuruskan secara berintegriti, telus serta tiada penyelewengan.

“Saya amat berharap tiada isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa berhubung perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette