KUALA LUMPUR – Realitinya tidak mudah bagi rakyat Malaysia untuk memasuki Gaza, Palestin bagi menyertai pelbagai misi bantuan terutama dari kalangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Ini termasuklah pemimpin tertinggi kerajaan negara ini pun masih ada yang belum berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke Gaza atas pelbagai sebab terutamanya berkaitan soal keselamatan.
Bagaimanapun, terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk memasuki kawasan terbabit termasuk mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Mesir.
Begitulah rezeki yang berpihak kepada penyanyi Heliza Helmi, 35 yang menyertai misi kemanusiaan ke Gaza sebanyak empat kali.
“Semuanya urusan masuk ke Gaza dipermudahkan dan Allah SWT yang menolong. Saya sudah empat kali menjejaki kaki di Gaza sebanyak empat kali dan ada dalam satu tahun itu dapat pergi ke sana sebanyak dua kali.
“Saya jejak kaki di sana pada tahun 2012, 2013 dan 2019 dan semuanya mengikuti misi kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia atau MAPIM,” katanya.
Beliau ditanya bagaimana dapat masuk ke Gaza dengan lancar dan selamat tanpa berdepan kontroversi yang dilalui selebriti dan pendakwah sebelum ini.
Tahun ini, penyanyi rap, Caprice tiba di Mesir pada 24 Jun bagi menyertai misi bantuan ke Gaza.
Namun Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli tersadai di Mesir lebih dua bulan.
Dia tidak mendapat kebenaran memasuki Gaza daripada kerajaan Mesir dan kemudian meneruskan misinya dari Jordan.
Mengulas lanjut, Heliza berharap dapat melawat Afghanistan dalam usaha meneruskan misi kemanusiaan yang menjadi minatnya.
Dia sebelum ini membantu pelarian Rohingya di beberapa kem pelarian dan kampung di Cox’s Bazaar, Bangladesh, selain beberapa kali sampai di Syria, misi pembinaa masjid di Sepanyol dan misi bantuan banjir di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, orang ramai yang mahu membantu Tabung Kemanusiaan Afghanistan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882 , Bank Islam 14014010147470 atau Bank CIMB 8604171675.
Orang ramai juga boleh menghubungi Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail di talian 016-997 8323 atau Exco Muslim Care Malaysia, Ahmad Safuan Ujar ditalian 013-488 6447. – MalaysiaGazette