PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan
Johor Bahru  – Gara-gara hilang selipar dan dan takut dimarahi oleh ibunya, seorang kanak-kanak mendakwa dirinya diculik ketika pergi ke kedai berhampiran kawasan perumahan di Permas Jaya, di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner,  Raub Selamat berkata, laporan polis itu dibuat oleh ibu kepada pasangan kembar yang memberitahu salah seorang anak kembarnya telah hilang pada 6 November lalu.
Siasatan awal yang dijalankan pada hari yang sama laporan polis dibuat mendapati pasangan kembar berumur 11 tahun telah pergi ke kedai runcit berhampiran rumahnya untuk membeli barang.
“Salah seorang anak pengadu telah masuk ke dalam kedai, manakala seorang lagi tunggu di luar kedai runcit tersebut.
”Apabila selesai membeli barang, anak pengadu mendapati kembarnya yang menunggu di luar kedai telah tiada dan bertindak pulang ke rumah memberitahu kepada pengadu berkaitan kehilangan kembarnya.
“Susulan kejadian tersebut, ibu berusia 38 tahun telah bertindak mencari anaknya di sekitar kawasan perumahan, namun tidak menjumpai lalu membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
“Selepas dua jam dilaporkan hilang, kira-kira jam 5 petang, anak pengadu memaklumkan kembarnya telah dijumpai oleh orang awam dalam keadaan baik dan selamat.
Menurut Raub, siasatan pihak polis mendapati kanak-kanak tersebut dijumpai dengan jarak lebih kurang dua kilometer dari tempat kejadian.
Difahamkan ketika ditemui, kanak-kanak tersebut mendakwa dirinya telah dibawa lari oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.
Lelaki tersebut didakwa memakai topeng Ninja dan kemudian membawanya ke sebuah rumah tetapi dia berjaya melawan dan melarikan diri.
Namun, apabila disoal siasat oleh Ketua Polis Balai Permas Jaya bersama pegawai penyiasat kes, kanak-kanak tersebut akhirnya mendedahkan dia telah bermain kejar-kejar dengan seorang budak lelaki sehingga seliparnya hilang.
“Bimbang dimarahi oleh ibubapa, kanak-kanak tersebut mendakwa dirinya telah dibawa lari.
”Kes ini tiada unsur jenayah dan diklafikasikan tiada tindakan lanjut (NFA),” ujarnya.
Sehubungan itu, polis menafikan kejadian culik yang dilaporkan.
Dalam pada itu, Raub menasihatkan ibubapa supaya memantau pergerakan anak masing-masing terutama di kawasan awam.- MalaysiaGazette