Adly Zahari

MELAKA- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari adalah satu-satunya calon untuk diangkat sebagai Ketua Menteri Melaka jika gabungan itu mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengesahan itu dibuat oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan, hari ini.

“Kita telah tonjolkan satu tokoh yang pernah memimpin PH di Melaka.

“Adly Zahari adalah calon Ketua Menteri Melaka PH,” katanya.

Hadir sama dalam pelancaran manifesto PH adalah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Adly yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, berdepan dengan Datuk Hasnoor Husin (Barisan Nasional), Muhammad Al Afiz Yahya (Pas-Perikatan Nasional) dan Abdul Hamid Mustapah (bebas).

Kata Anwar, pengumuman itu dibuat setelah mendapat persetujuan daripada ketiga-tiga parti dalam PH.

“Naratif kita konsisten apa sahaja langkah untuk mengembalikan mandat PH harus kita tunggu, maka dengan itu muafakat dan konsensus yang kita capai dalam PH ialah meneruskan komitmen yang sama dan dengan ini menamakan Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri.

“Bila kita menang, dia akan diangkat sebagai Ketua Menteri,” jelas Anwar lagi.

PH meletakkan 28 calon di semua kerusi DUN PRN Melaka pada 20 November depan, sekali gus menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru di semua kerusi antara Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast