PENGKALAN BALAK – Datuk Mas Ermieyati Samsudin tidak pernah menganggap jawatan Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen Masjid Tanah sebagai satu kelebihan untuknya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dengan mudah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Sebaliknya beliau meletakkan kedudukannya sama dengan calon-calon lain yang mana mereka perlu bekerja keras bagi memenangi hati pengundi dengan kekangan berkempen secara fizikal yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya tak ambil kredit (jawatan), saya ada peluang sama dengan Zainal, sama macam Rauf tak kira lah saya ahli Parlimen atau Timbalan Menteri.
“Saya tak nak meletakkan itu sebagai satu kelebihan. Saya masih kena berusaha dengan lebih kuat lagi. Masa tinggal sembilan hari, sangat suntuk,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; calon Pakatan Harapan, Zainal Hassan dan Mas Ermieyati.
Sementara itu, Mas Ermieyati tidak menafikan penduduk tempatan masih menganggap beliau sebagai Ketua Puteri UMNO walaupun lebih dua tahun menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Owh yer ker, ialah…. Macam mana nak buat, Bersatu baru lima tahun, dan saya masih baru jadi ketua bahagian, baru dua tahun.
“Mungkin sebab itulah mereka tahu dan tak berapa arif tentang itu,” ujarnya.
Beliau turut berharap PRN Melaka berjalan lancar tanpa sebarang perkara yang tidak diingin berlaku bagi memudahkan pengundi luar kembali menunaikan tanggungjawab mereka.
“Saya harap ramai akan dapat balik ke kampung dan menggunakan kuasa serta tanggungjawab mereka untuk memilih yang terbaik untuk mewakili kawasan masing-masing.
“Saya sendiri berharap supaya pengundi-pengundi DUN Tanjung Bidara agar dapat memberikan peluang kepada saya untuk berkhidmat untuk mereka,” katanya. – MalaysiaGazette