ALOR GAJAH – Mesyuarat Pakatan Harapan (PH) yang akan diadakan pada petang ini akan membincangkan sama ada bagaimana memastikan kemenangan pakatan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atau pengumuman nama Ketua Menteri.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama-sama dengan kepimpinan PH yang lain.
“Menang atau calon Ketua Menteri, mana dahulu? Petang nanti kita bincang,’ katanya ringkas di Alor Gajah, pagi ini.
PH dijadualkan mengadakan mesyuarat di Bandar Melaka yang akan dihadiri Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Pada majlis sama, PH akan melancarkan Pelan Tindakan ‘Maju Bersama Harapan’ untuk PRN Melaka.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, pelan itu direncanakan bagi pembangunan Melaka pasca Covid-19.
Pada Isnin lalu, Datuk Seri Idris Haron yang kini menyertai PH, berkata, soal calon Ketua Menteri bukan menjadi agenda utama gabungan tersebut buat masa ini.
Idris yang mengetuai tindakan tiga lagi ADUN Perikatan Nasional (PN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, apa yang penting adalah menang PRN terlebih dahulu. – MalaysiaGazette