Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) turut tidak berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang disifatkan terlalu ketat.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, gabungan itu tidak setuju dengan pelaksanaan SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Semua merungut, saya tengok BN (Barisan Nasional), PN (Perikatan Nasional) dan PH semua tidak setuju,” katanya selepas melancarkan Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan sebentar tadi.

Anwar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan MalaysiaGazette berkaitan kenyataan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan SOP untuk PRN ini sebagai amat melampau dan seakan-akan mengikat pihak yang terlibat.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, dengan kekangan yang pelbagai itu kegiatan meraih undi terhalang.

Untuk rekod, sebarang ceramah, syarahan atau kegiatan kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan di sepanjang tempoh PRN Melaka sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19.

Anwar Ibrahim berbincang sesuatu bersama Mohamad Sabu semasa hadir ke pelancaran Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di La Crista Hotel, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 10 NOVEMBER 2021.

Dalam acara sama, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu pula berkata, SOP yang ditetapkan MKN dan KKM adalah sesuatu yang pelik di dunia.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, pihaknya akur akan arahan itu demi keselamatan rakyat khususnya pengundi Melaka.

“Kita pergi kedai ikan bakar penuh manusia ratusan orang, nak ceramah 5 orang pun tak boleh. Itulah keadaan negara kita sekarang.

“Kita patuhlah SOP untuk keselamatan semua,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis perasmian manifesto PH Melaka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh pada Isnin memaklumkan penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN Melaka.

Manakala bagi aktiviti pengedaran risalah, jumlah mereka yang dibenarkan terlibat dihadkan tidak lebih dari tiga orang dan bagi tujuan berkempen, calon digalakkan menggunakan aplikasi sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, WhatsApp dan lain-lain aplikasi menyampaikan kempen.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast