AYER KEROH – Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bertajuk Kestabilan Demi Kemakmuran.
Dengan satu matlamat, lima teras dan 103 inisiatif manifesto tersebut merupakan paksi untuk rakyat di negeri itu bagi tempoh lima tahun.
Majlis pelancaran dilakukan secara hibirid dengan mengambil kira arahan yang keluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha mencegah penularan Covid-19.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, manifesto berkenaan merupakan akujanji yang dibuat untuk BN dalam melakukan sesuatu untuk rakyat di Melaka.
Katanya, tidak akan ada kemakmuran sekiranya tiada kestabilan dan ia merupakan kunci utama kepada apa sahaja yang hendak dilakukan oleh BN kerana ia akan menjadikan kerajaan yang ditubuh lebih berfokus dalam mensejahterakan rakyat serta membangunkan negeri dengan tersusun dan teratur.
“Itu sebab manifesto kita bertajuk Kestabilan demi Kemakmuran, mesti kena ada kestabilan politik, perpaduan dan kestabilan rakyat yang perlu kita wujudkan.
“Dengan itu kerajaan yang akan kita wujudkan akan diapat diurus dengan baik dan dengan urus tadbir yang baik kita akan dapat membangunkan negeri serta hasil yang dirancang akan begitu baik dan mendatangkan kesejahteraan kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran tersebut, di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis pelancaran itu, Mohamad berkata, usaha mengatasi masalah banjir antara kandungan manifesto BN ‘Melaka Lima Tahun’ bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang mengariskan satu matlamat di samping lima teras dan 103 inisiatif.
Katanya, lima inisiatif tersebut adalah mengekalkan kestabilan politik dalam agenda politik matang, merealisasikan ekonomi baharu, komited meningkatkan tadbir urus kerajaan, memelihara keharmonian bersatu padu dan agenda untuk menjayakan pembangunan mapan.
“Kita tidak beri janji manis kepada rakyat, namun manifesto ini kita percaya mampu dilaksanakan kerana ia bersifat realistik.
“Manifesto ini berpijak kepada bumi nyata, berpijak kepada keperluan rakyat. Hal ini kerana BN mempunyai pengalaman luas, rekod pencapaian cemerlang.
“Maka perjuangan kami berpaksikan kestabilan politik dan komited untuk meneruskan agenda negeri untuk kesenangan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette