KUALA LUMPUR – AirAsia X telah berjaya mendapat kelulusan 100 peratus untuk pelan penstrukturan semula hutangnya daripada pemiutang skim Kelas A serta C dan 97.6 peratus daripada pemiutang Kelas B, dengan itu menjadikan laluan cadangan hutang syarikat penerbangan yang bermasalah itu semakin jelas.

Wakil syarikat penerbangan itu, Mercury Securities Sdn Bhd berkata, kelulusan itu diperoleh selepas mesyuarat yang diarahkan mahkamah (CCM) yang diadakan dengan tiga kumpulan pemiutang yang berbeza “hadir dan mengundi sama ada secara individu atau melalui proksi” di CCM berkenaan.

Syarikat penerbangan tambah rendah itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, ia memerlukan “majoriti 75 peratus” pemiutang skim melalui CCM agar pelan berkenaan diluluskan.

AirAsia X mengadakan tiga mesyuarat hari ini dengan pemiutang skimnya bagi mengundi pelan untuk menstruktur semula hutang sebanyak RM63.5 bilion.

Pada 10 Nov, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) telah menyeru AirAsia X mengadakan pelan penstrukturan semula hutang yang lebih adil untuk pengguna dan ejen.

Kegagalan mendapatkan kelulusan pemiutang untuk pelan penstrukturan semula perniagaannya mungkin akan menyaksikan syarikat penerbangan itu dibubarkan, menurut satu laporan yang memetik Presiden Matta Datuk Tan Kok Liang pada 10 Nov lepas.

Di bawah pelan penstrukturan semula hutangnya, AirAsia X menyasarkan untuk menyusun semula RM63.5 bilion hutangnya kepada pengakuan keberhutangan bagi jumlah prinsipal sehingga RM200 juta dengan melepaskan 99.9 peratus daripada modal saham terbitannya serta cadangan penyatuan saham bagi setiap 10 saham sedia ada dalam syarikat kepada satu saham.

AirAsia X dalam kenyataan berasingan hari ini menjelaskan sokongan yang luar biasa dan hampir sebulat suara itu akan dibentangkan kepada mahkamah pada minggu-minggu akan datang, dan apabila diluluskan, syarikat penerbangan itu akan memulakan pelan pemulihan yang telah mendapat persetujuan oleh pemegang sahamnya pada Jun 2021 lepas.

“Penyelesaian dijangka berlaku pada suku pertama 2022, selepas itu syarikat penerbangan tersebut akan bersedia untuk bersaing dalam pasaran yang mana ia akan beroperasi,” kata pengasas dan pengarah syarikat penerbangan itu Tan Sri Tony Fernandes.

“Kami ingin memberi jaminan kepada semua penumpang yang terjejas oleh penstrukturan semula ini bahawa adalah menjadi hasrat AirAsia X untuk meletakkan keistimewaan perjalanan dalam bentuk kredit perjalanan, yang boleh digunakan bagi pembelian tiket penerbangan masa depan apabila sempadan antarabangsa dibuka semula.”

Ketika pasaran ditutup hari ini, saham AirAsia X melonjak 25 peratus kepada 7.5 sen dengan 116.57 juta saham diniagakan. – MalaysiaGazette