Pengarah PRN Melaka DAP, Khoo Pay Tiong bercakap kepada media mengenai dakwaan hanya 511 kertas undi pos yang diterima oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika di Ibu Pejabat DAP Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 12 NOVEMBER 2021.

KLEBANG – Parti DAP hari ini mendakwa hanya 511 sahaja kertas undi pos yang diterima oleh para pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah PRN Melaka DAP, Khoo Pay Tiong berkata, jumlah tersebut tidak sama seperti yang diumumkan oleh SPR kelmarin.

Katanya, ia merupakan satu angka yang kecil jika hendak dibandingkan dengan jumlah keseluruhan pengundi di negeri itu yang hampir mencecah 490,000 pengundi.

“Jadi, kalau 10 peratus kita jangaka mereka tidak ada di Melaka sepatutnya ada lebih kurang 50,000 pengundi yang ada di luar dan kita lihat hanya 511 undi pos sahaja.

“Dari angka ini kita sudah dapat menjangka keadaan keluar mengundi tersebut sudah pasti akan bermula dengan 90 peratus sahaja, sebab 10 peratus pengundi yang ada di luar itu mereka tak daftar sebagai pengundi pos.

“Itu yang kita risau macam yang dikatakan sebelum ini kita jangka kadar keluar mengundi itu akan turun turun. Kita berharap kategori yang lain akan dapat keluar mengundi pada 20 November ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Pay Tiong menggesa SPR menjawab dua persoalan berhubung undi pos iaitu mengenai aduan pengundi yang tinggal di luar negara apabila mendakwa SPR tidak menjawab permohonan undi pos yang telah dibuat secara online sebelum tarikh tutup permohonan undi tersebut.

Katanya, pengundi berkenaan telah mengadu kepada pihaknya dengan mengatakan tiada maklum balas daripada SPR berhubung perkara itu.

“Jadi, jika keadaan ini banyak maka satu masalah besar yang harus SPR mengatasinya,” ujarnya.

Masalah lain yang turut timbul ialah apabila kertas undi pos yang diterima oleh pengundi tiada tertera nama dan alamat penerima Pegawai Pengurus Plihanraya (RO).

Persoalannya kata beliau, bagaimana undi pos tersebut hendak dihantar semula oleh pengundi sekiranya tiada maklumat lengkap disertakan.

“Yang kita khuatir daripada 511 kertas undi ini berapa akan kembali ke Melaka ini kalau mereka tiada maklumat dan alamat dan penerima RO.

“Kita nak SPR jawab kepada kita bagaimana keadaan ini boleh berlaku dan bagaimana mekanisme semak dan imbang boleh dibuat.

Justeru DAP Melaka telah membuat satu hantaran di laman web untuk memudahkan urusan 511 pengundi pos terbabit membuat semakan ke 28 pusat DUN yang disenaraikan.

“Kita nak agar SPR melihat perkara ini agar ia tidak berlaku lagi pada masa akan datang,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast