KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengambil langkah berani untuk menghadkan waktu operasi restoran dan kedai makan 24 jam di negara ini.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, walaupun langkah tersebut akan menerima pelbagai reaksi daripada rakyat namun tindakan sedemikian diperlukan jika kerajaan benar-benar mahu membentuk sebuah Keluarga Malaysia yang sihat.
“Tak dinafikan memang semua orang nak makan di restoran 24 jam atau ‘mamak’ tapi kalau tiada restoran 24 jam sudah tentu trend pemakanan yang tidak sihat juga akan berkurangan.
“Orang kita ini budaya makan sekurang-kurangnya enam kali dalam masa satu hari sehingga lah kadang-kadang pukul 10 malam atau mungkin 3 pagi.
“Sebelum ini sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak kedai makan tutup boleh pula kita hidup? Tapi kerajaan kena berani lah, (walaupun) memang susah (menghadkan waktu operasi kedai makan),” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Zainal Ariffin berkata, dalam memutuskan satu keputusan besar sudah semestinya ia memerlukan langkah yang drastik, namun jika dilakukan secara teliti sudah pasti akan membuahkan hasil.
Jelasnya, makan di restoran makanan 24 jam, restoran makanan segera serta trend makan secara kerap menjadi antara penyumbang penting terhadap penyebab penyakit obesiti.
“Banyak makan yang berlemak, tinggi kalori, makanan segera dan kurang aktiviti fizikal ditambah pula dengan makanan sihat yang agak mahal. Selepas itu akses kepada makanan tidak sihat juga amat luas.
“Hadkan waktu operasi restoran 24 jam memang orang akan marah sebab kita tarik keseronokan dan kesenangan mereka tapi (kerajaan) kena buat kalau tidak keluarga dan kerajaan juga yang kena tanggung penyakit,” ujarnya.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menciap satu poll (undian) di laman Twitter berserta kapsyen ‘Sempena pelancaran #AgendaNasionalMalaysiaSihat, apa pandangan anda terhadap waktu operasi restoran kedai mamak?’
Undian tersebut menerima lebih 22,000 respon daripada warganet dengan keputusan akhir menunjukkan 82 peratus mahu waktu operasi restoran dibenarkan buka 24 jam manakala hanya 18 peratus memilih waktu operasi perlu dihadkan.
Ciapan berkenaan turut menerima pelbagai reaksi daripada warganet yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan mengatakan restoran 24 jam bukan punca utama kepada penyakit obesiti.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pelancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Zainal Ariffin berpendapat kerajaan harus bersungguh-sungguh dalam menjayakan agenda berkenaan dengan polisi kesihatan awam yang jelas supaya dapat memberi impak kepada rakyat.
“Literasi kesihatan dalam kalangan rakyat di negara ini memang tinggi cuma amalan dan pembudayaan perlu ditingkatkan lagi. Kena tambah polisi dan peraturan sebagai ‘supportive environment’.
“Pemakanan kurang sihat, produk tembakau dan rokok, kurang senaman dan persekitaran kotor adalah faktor risiko yang utama.
“Kerajaan beri tumpuan yang banyak kepada fasiliti rawatan tetapi sangat sedikit dalam elemen pencegahan dan kesihatan awam,” ujarnya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan ANMS sebagai persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik Covid-19.
Beliau berkata, ANMS bertujuan membudayakan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan Keluarga Malaysia, di samping berusaha menjadikan Keluarga Malaysia sihat sejahtera sepanjang hayat. – MalaysiaGazette