KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengatur langkah untuk mengurangkan secara berfasa penggunaan amalgam dalam rawatan pergigian di negara ini.
Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian), Dr. Noormi Othman berkata, kementeriannya mengambil maklum satu artikel bertajuk Toxic Mercury in Dentistry yang diterbitkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan bertarikh 8 November lalu.
“Karies gigi merupakan masalah kesihatan awam yang utama di peringkat global termasuk di Malaysia dan antara rawatan yang kerap diberikan adalah rawatan tampalan pergigian.
“Salah satu bahan tampalan yang digunakan ialah amalgam pergigian dan bahan tampalan ini telah digunakan sejak 150 tahun yang lalu memandangkan ia mempunyai ciri-ciri kekuatan, ketahanan dan kualiti pengendalian yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Noormi,, konvensyen Minamata mengenai merkuri adalah perjanjian peringkat antarabangsa untuk melindungi kesihatan dan alam sekitar daripada kesan sampingan merkuri.
Beliau menambah Malaysia telah menandatangani perjanjian itu sejak tahun 2014 namun masih belum menjadi ahli kepada konvensyen tersebut.
Bagaimanapun, katanya, Program Kesihatan Pergigian KKM (PKP KKM) telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan penggunaan amalgam pergigian kepada 15 peratus menjelang tahun 2020.
“Sasaran 15 peratus ini telah berjaya dicapai pada tahun 2019, yang mana penggunaan amalgam pergigian di fasiliti KKM di seluruh Malaysia adalah hanya 9.91 peratus.
“Selaras dengan saranan oleh FDI World Dental Federation, PKP KKM telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha mengurangkan penggunaan amalgam pergigian antaranya memperkukuhkan strategi pencegahan dan promosi kesihatan pergigian dengan memberi penekanan kepada pengesanan dan pencegahan lesi karies awal yang mana dengan ini, tampalan pergigian dapat dikurangkan.
“Kita juga bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan (Angkatan Tentera Malaysia, universiti, pengamal swasta dan pembekal bahan pergigian) dalam membangunkan strategi yang mampan bagi fasa pengurangan penggunaan amalgam pergigian dan memastikan akses kepada bahan pergigian alternatif pada harga yang berpatutan.
“Selain itu, penyelidikan berkaitan penggunaan bahan tampalan pergigian bebas merkuri yang selamat, berkesan dan berkualiti telah dipergiatkan lagi dan mengehadkan penggunaan amalgam pergigian kepada amalgam berkapsul dan pemasangan perangkap dan penapis amalgam selaras dengan amalan pengurusan persekitaran terbaik untuk sisa amalgam,” ujarnya.
Malah tegasnya, Position Statement on the Use of Dental Amalgam 2020 yang diterbitkan oleh Majlis Pergigian Malaysia, menyokong penggunaan bahan tampalan alternatif kepada amalgam pergigian, terutamanya bagi golongan kanak-kanak, ibu mengandung, ibu menyusukan anak dan pesakit yang mempunyai masalah kesihatan seperti masalah buah pinggang serta alahan terhadap amalgam.
Pun begitu, katanya, KKM akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain dalam mengurangkan atau seboleh-bolehnya, mengelakkan penggunaan amalgam pergigian melainkan didapati perlu berdasarkan keperluan khusus yang terbaik bagi seseorang pesakit itu.- MalaysiaGazette