Ubat gigi disyaki guna jenama tidak sah dirampas menerusi serbuan di Pelabuhan Utara, Klang semalam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyita ubat gigi menggunakan jenama tidak sah bernilai RM35,000 di Pelabuhan Utara, Klang dekat sini semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya menjalankan serbuan secara bersama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia selepas menerima aduan berhubung perlakuan pelanggaran cap dagang.

Menurut beliau, pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah kontena di pelabuhan tersebut yang dipercayai menjadi lokasi pelepasan dari Pelabuhan Ningbo, China pada 25 Oktober lalu dan tiba di negara ini pada 2 November.

“Kontena tersebut didapati dimuatkan sejumlah barangan yang disyaki melakukan pelanggaran cap dagangan terlibat.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 50 kotak yang mengandungi 72 unit ubat gigi dengan jenama terlibat dan berada dalam kontena yang diperiksa dalam serbuan.

“Jenama tersebut disyaki ada menyerupai atau hampir serupa dengan suatu cap dagangan berdaftar yang dimiliki oleh sebuah syarikat terkenal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ubat gigi disyaki guna jenama tidak sah dirampas menerusi serbuan di Pelabuhan Utara, Klang semalam.

Mengulas lanjut, Muhamad Zikril berkata, pihaknya turut mengesyaki kemungkinan berlaku kesilapan ejaan melibatkan cap dagangan asal (berdaftar/sah) tersebut.

Justeru katanya, tindakan serbuan ini dilaksanakan dengan segera setelah menerima aduan daripada wakil pemilik cap dagangan berkenaan tujuan pemeriksaan dan siasatan ke atas perlakuan yang disyaki mempunyai pelanggaran cap dagang.

“Kesemua barangan jenis ubat gigi jenama tersebut telah disita untuk siasatan lanjut oleh pihak KPDNHEP Shah Alam dengan nggaran nilai sitaan adalah RM35, 000,” ujarnya.

Beliau berkata siasatan dijalankan di bawah peruntukan Seksyen 99 (1) Akta Cap Dagangan 2019, iaitu pemelancungan cap dagang atau memalsukan suatu cap dagangan berdaftar yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, KPDNHEP turut memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti perniagaan sama ada secara dalam talian mahupun fizikal terutamanya melibatkan kualiti dan keselamatan pengguna. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast