Tan Sri Muhyiddin Yassin

JASIN – Perikatan Nasional (PN) dilihat sengaja mengumumkan calon Ketua Menteri Melaka agak lewat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Bagaimanapun, Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon utama bagi jawatan itu sudah diputuskan dan akan diumumkan tidak lama lagi.

“Itu strategi kita (umum lewat calon Ketua Menteri), kita tidak semestinya umum awal, tak umum langsung pun tak boleh.

“Mesti ada calon daripada PN, ramai sebenarnya yang layak dan jadi Ketua Menteri. Tak jadi masalah kepada kita,” katanya pada sidang media di Kampung Air Panas, Jasin, hari ini.

Ditanya samada calon daripada Bersatu yang akan dicalonkan, Muhyiddin berkata, perkara itu telah diputuskan oleh parti-parti komponen.

“Ya sudah ada, daripada parti mana? Sewajarnya kerana Bersatu mempunyai sejumlah kerusi yang besar dan kami diberikan kepercayaan oleh rakan-rakan seperti Pas dan Gerakan, Ketua Menteri itu akan datang daripada Bersatu,” katanya lagi.

Bersatu merupakan gabungan yang masih belum menamakan calon Ketua Menteri sekiranya memenangi PRN Melaka pada 20 November ini.

Tidak seperti Bersatu, Barisan Nasional (BN) terdahulu mengumumkan calon Ketua Menteri iaitu calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Sulaiman Md Ali sementara Pakatan Harapan (PH) pula menamakan semula bekas Ketua Menterinya, Adly Zahari sebagai calon parti itu.

Pada sidang media sama, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, PN juga berasa sulit dengan Operasi Prosedur Standard (SOP) yang dilihat sangat ketat kepada semua parti-parti yang bertanding.

“Saya pun mengeluh juga. Bagaimana kita nak perkenalkan calon kalau tak boleh jumpa pengundi, bercakap pun tak boleh.

“Saya faham apa KKM (Kementerian Kesihatan) buat untuk kebaikan, tetapi kita minta pertimbangan jika dapat dilonggarkan (SOP) beberapa hari, maka boleh berikan sedikit ruang untuk kita berkempen,” kata beliau.

Pelbagai pemimpin di semua peringkat parti-parti yang bertanding pada PRN Melaka mengeluh dengan pelaksanaan SOP baharu itu.

Antaranya Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut mempertikaikan pelaksanaan itu.

Mohamad berkata, pelaksanaan SOP PRN Melaka yang didakwanya amat ketat, selain ada yang tidak masuk akal. – MalaysiaGazette