Orang ramai tidak melepaskan peluang merakam trak LED kempen Perikatan Nasional yang memaparkan pemimpin utama dan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Duyong, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2021.

DUYONG – Perikatan Nasional (PN) menggerakkan lima buah lori khas skrin LED untuk kegunaan hebahan senarai calon yang akan mewakili gabungan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pendekatan kempen secara bergerak itu dilakukan berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini, iaitu untuk tidak menjalankan kempen secara bersemuka, atau mengadakan perhimpunan.

Motosikal melalui trak LED kempen Perikatan Nasional yang memaparkan pemimpin utama dan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Duyong, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2021.

Kelima-lima lori khas skrin LED itu dilihat bergerak perlahan, kemudian berhenti seketika di bahu jalan di sekitar Taman Duyong Bistari, di sini kira-kira 9.45 malam tadi sambil menayangkan profil calon-calon dan video kempen mereka beberapa minit.

Difahamkan, perjalanan pada malam tadi membabitkan tiga kawasan di Jasin, Alor Gajah dan Kota Melaka yang mana mereka perlu memohon permit harian untuk menggerakkan lori khas tersebut.

Motosikal melalui trak LED kempen Perikatan Nasional yang memaparkan pemimpin utama dan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Duyong, Melaka. Foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2021.

Untuk rekod, PRN Melaka menyaksikan peningkatan calon kepada seramai 112 orang berbanding 85 calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Melaka.

Seramai 495,196 pengundi berdaftar di Melaka dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita akan menentukan wakil rakyat di 28 kawasan DUN, pada 20 November ini.- MalaysiaGazette