SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan satu prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan bagi proses perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang telah berlangsung sekarang ini sehingga 20 November 2021. Ternyata kempen secara tradisional berjumpa pengundi rumah ke rumah tidak dibenarkan
mengikut garis panduan SOP yang dikeluarkan. Media utama, media sosial akan menjadi
gelanggang dan pentas buat para calon untuk berkempen.
Persoalan yang timbul adalah, adakah setiap calon mempunyai peluang dan ruang untuk
berkempen melalui media utama? Televisyen dan akhbar sejak dari dahulu lagi tidak dapat diakses oleh semua pihak atau parti. Menjadi kelebihan kepada parti pemerintah yang menggunakan segala bentuk kempen sama ada saluran berita, iklan mahupun program-program rancangan televisyen dan radio.
Satu pembaharuan sempena norma baharu ini perlu dilakukan agar televisyen, radio dan
akhbar memberi ruang dan peluang yang saksama kepada kesemua 112 calon.
Sudah tentu calon-calon yang mewakili parti-parti mereka mempunyai kelebihan kerana jentera dan sokongan daripada ahli-ahli parti yang lain, bagaimana pula dengan calon bebas yang tidak membawa mana-mana lambang atau simbol parti?
PRN Sarawak akan menyusul selepas ini, cabaran lebih getir sekiranya SOP ini turut sama
diguna pakai di sana oleh SPR kerana faktor keterbatasan capaian telekomunikasi dan Internet yang akan menyukarkan kempen menggunakan platform media sosial berjalan dengan baik. SPR perlu bekerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pemain-pemain media utama untuk memberi ruang dan peluang yang saksama dan adil kepada semua calon yang bertanding.
Wang deposit pertandingan pilihan raya misalnya boleh dikaji semula sebagai yuran untuk
penggunaan media utama di stesen televisyen kerajaan (RTM) atau swasta. Dengan itu, media-media juga memperoleh manfaat daripada pilihan raya dan wajib memberikan ruang dan masa penyiaran kepada calon-calon.
Peratusan keluar mengundi berkurang kerana Covid-19?
Semasa membuat tinjauan kepada pengundi-pengundi di Melaka, kebanyakan pengundi
menjawab tidak mahu keluar mengundi atas faktor ahli-ahli politik ini melompat dan mereka sendiri yang mengganggu-gugat kestabilan politik negara dan negeri. Kes Covid-19 yang tinggi di Sabah ekoran PRN yang diadakan juga menjadi faktor pengundi Melaka tidak mahu keluar mengundi. Ada juga yang menyatakan bahawa mereka akan keluar
mengundi nanti semasa Pilihan Raya Umum ke-15.
Terdapat perbezaan pengendalian pilihan raya oleh SPR semasa PRN Sabah dan PRN Melaka yang berlangsung kini, SOP dan garis panduan yang jelas telah dikeluarkan serta tindakan undang-undang yang tegas dan tidak berat sebelah dapat kita lihat sejak dari awal arahan ini dikeluarkan. Ini tidak berlaku semasa di Sabah. Selain itu, saman yang dikenakan jelas tidak berpihak kepada mana-mana parti, UMNO, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan masing-masing telah dikenakan saman oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ekoran gagal mematuhi perintah dan SOP yang dikeluarkan.
Oleh itu, SPR perlu giat berkempen kepada pengundi tentang pentingnya keluar mengundi dan tanggungjawab rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin negeri mereka.
Selain itu, SPR perlu memberikan jaminan bahawa SOP yang dikeluarkan dipatuhi dan dikawal ketat agar pengundi-pengundi yakin dan selamat untuk keluar mengundi. SPR juga perlu bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia untuk membantu kelancaran proses pengundian.
Rakyat Malaysia pula janganlah berkunjung ke Melaka untuk bercuti atau bersiar-siar pada 20 November 2021 agar perjalanan pulang pengundi luar yang ingin pulang mengundi ke Melaka tidak memakan masa yang lama kerana tersangkut dengan kesesakan lalu lintas. Rakyat Melaka tidak kira Melayu,Cina atau India perlu melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memilih pemimpin yang akan mentadbir negeri Melaka bagi lima tahun yang mendatang.
Selamat memilih dan mengundi saya ucapkan kepada semua pengundi Melaka.
Ya Asrul Yaman Kijas
Nusantara Academic for Strategic Research