KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan lega barisan pemain bebas kecederaan meskipun tewas kepada Penang FC dalam aksi terakhir peringkat kumpulan TM Piala Malaysia pada Rabu lalu.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium UiTM, Penang FC meraih kemenangan pertama selepas menewaskan tuan rumah dengan keputusan 2-1.
Namun, Elavarasan lebih memikirkan tahap kecergasan anak buahnya selepas berakhir perlawanan tersebut kerana aksi suku akhir yang lebih getir menanti mereka apabila bakal berdepan Terengganu FC pada 14 dan 18 November ini.
“Perlawanan terakhir ini kalau kita menang dan Kuala Lumpur juga menang, tidak akan mengubah apa-apa, jadi untuk saya, yang penting adalah tiada kecederaan berlaku.
“Risau juga kalau ada pemain saya cedera sebab dua-dua pasukan beraksi agresif, jadi itu yang saya risau kalau jadi apa-apa.
“Kita pun tahu Terengganu adalah pasukan yang bagus dan mempunyai ramai pemain yang berkualiti berbanding dengan Sarawak United, kalau ada yang cedera akan jadi masalah kepada pasukan.
“Apa-apa pun, kita menghormati pasukan Terengganu, cuma hari perlawanan nanti adalah bagaimana kita beraksi, bukan nak cakap kami terlalu yakin tetapi ini bola sepak dan apa-apa boleh berlaku,” jelasnya.
Ini merupakan kemenangan pertama Penang FC dalam peringkat kumpulan selepas empat kali tewas dan seri satu perlawanan.
Meskipun gagal ke suku akhir, pengendali Penang FC, Thomas Trucha berbangga dengan semangat juang pemain yang tidak berputus asa untuk akhirnya memberi kemenangan terakhir sebagai penutup.
“Sebelum kita tewas dengan Kuala Lumpur tempoh hari, kita dah bolos sebanyak 9 gol, jadi sekarang dapat lihat pemain-pemain tetap melakukan tugas yang baik untuk pasukan.
“Semestinya Sarawak United adalah lebih baik daripada kita, tetapi sekurang-kurangnya pemain tidak berputus asa untuk bekerja keras memberikan keputusan positif malam ini,” katanya.
Keputusan Rabu lalu menyaksikan Sarawak United kekal di tangga kedua Kumpulan A dan akan menentang Terengganu FC di suku akhir.
Manakala Kuala Lumpur pula muncul juara untuk berdepan Selangor FC bermula 14 dan 18 November ini. – MalaysiaGazette