Calon-calon Perikatan Nasional berikrar sambil disaksikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Menandatangani Aku Janji Anti Rasuah Calon-Calon Perikatan Nasional di Bilik Gerakan Utama Tg. Minyak, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 12 NOVEMBER 2021.

MELAKA TENGAH – Perikatan Nasional (PN) mewajibkan kesemua 28 calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk mendatangani akujanji khas parti itu.

Dalam akujanji tersebut, kesemua mereka dikehendaki memastikan pentadbiran kerajaan negeri Melaka dilaksanakan secara bersih, adil dan bebas rasuah sekiranya gabungan itu menang dalam PRN Melaka kali ini.

Kesemua mereka menandatangani akujanji itu di hadapan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Majlis itu diadakan di bilik gerakan utama PN di Tanjung Minyak, malam ini.

Akujanji itu mensyaratkan mereka mematuhi sepenuhnya undang-undang seperti mana yang diperuntukkan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

“Saya akan menolak sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam mencegah sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Saya tidak akan melibatkan diri dalam sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, sama ada secara langsung atau tidak langsung; dan

“Saya akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan segera, sebarang bentuk jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang melibatkan saya atau kakitangan di bawah seliaan saya,” tulis akujanji tersebut.

Semalam, Muhyiddin berkata, pelaksanaan kewajipan untuk menandatangani akujanji itu adalah selari dengan pendirian yang didukung gabungan itu untuk menentang salah guna kuasa dan rasuah serta akan memberi layanan yang adil kepada semua pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast