MELAKA – Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Mohd Azrudin Mohd Idris mengakui menerima tekanan semakin kuat tatkala memasuki hari kelima kempen.
Jelasnya, pelbagai strategi digerakkan pihak jenteranya disebabkan larangan berkempen secara bersemuka kepada pengundi.
Langkah yang ada katanya hanyalah dengan mengedarkan risalah di segenap pelusuk DUN Pengkalan Batu.
“Memang agak mencabar tapi kita seronok sebenarnya sebab disamping kita patuh SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan KKM (Kementerian Kesihatan) dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya). Setakat ini walaupun kempen kita lakukan ini tidak boleh secara bersemuka, walkabout dan sebagainya tapi kita melakukan pengedaran flyers berjalan lancar.
“Hari ini, saya sendiri yang turun padang dengan pasukan saya, hendak rasai bagaimana perasaan dan sambutannya sangat baik,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Ditanya mengenai suhu politik di DUN Pengkalan Batu yang menerima pertandingan lima penjuru, Mohd Azrudin dapat merasakan pengundi akan memilih PN bersandarkan kepada rekod cemerlang gabungan itu menangani penularan Covid-19.
“Pertembungan yang sengit tapi kita tidak tahu sebab mood rakyat tidak menunjukkan mereka sokong pihak mana. Cuma kita dapat rasakan yang rakyat akan tetap memilih PN sebab gabungan ini sebuah parti yang telah terbukti berjaya membangunkan Malaysia dan membawa negara keluar daripada wabak Covid-19.
“Hari ini PN telah terbukti parti yang bebas dan integriti dan bebas rasuah,” jelasnya.
Mohd Azrudin berkata, jenteranya telah giat menggerakkan jentara parti dalam memastikan setiap pengundi di DUN Pengkalan Batu mengetahui dirinya mewakili PN.
Malah katanya, pelbagai strategi disusun dengan rapi bagi memenangi kerusi ini daripada Pakatan Harapan (PH).
“Kita mula hari pertama terus masuk gear lima, kita berharap kelam kabut tapi kita susun strategi dengan betul, aturan kerja maka kita akan dalam landasan,” katanya.
DUN Pengkalan Batu menyaksikan pertembungan lima penjuru pada 20 November depan.
Calon-calon tersebut adalah Datuk Kalsom Nordin (BN), Muhammad Danish Zainuddin (PH), Mohd Aluwi Sari (Putra), Norhizam Hassan Baktee (Bebas) dan Azrudin Idris (PN).
Pada minggu lalu, Norhizam mengumumkan akan mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Batu yang dimenanginnya pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14), pada 2018 lalu.
Pada PRU-14 lalu, Norhizam yang bertanding atas tiket DAP menang dengna majoriti 2,756 undi menwaskan calon BN, Chua Lian Chye dan calon Pas, Ramli Dalip. – MalaysiaGazette