Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (dua dari kiri) dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu (dua dari kanan) serta Pengerusi Pakatan Harapan Melaka dan calon PH Bukit Katil, Adly Zahari (kanan) menunjukkan risalah Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan yang dilancarkan bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di La Crista Hotel, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 10 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Prestasi cemerlang Adly Zahari menjadikan Parti Amanah Negara (Amanah) berhasrat mahu melahirkan lebih ramai individu seperti bekas Ketua Menteri Melaka itu pada masa depan.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, Pengerusi PH Melaka itu berjaya membuat perubahan di negeri itu ketika memerintah selama 22 bulan.

“Inilah corak kepimpinan baharu Malaysia sekarang dan pada masa akan datang. Individu seperti Adly Zahari akan muncul lebih banyak lagi pada masa akan datang kerana Amanah berazam untuk memberikan keadilan kepada semua.

“Tugas ketua menteri dan exco supaya mencari jalan (supaya) kerajaan banyak duit. Ini yang dilakukan di Pulau Pinang, Selangor di mana kita berusaha supaya kerajaan dapat duit banyak untuk membantu rakyat,” katanya berucap dalam siaran langsung ceramah perdana PRN Melaka di Facebook DAP malam ini.

Hadir sama dalam siaran langsung itu adalah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mohamad Sabu berkata, kepimpinan Adly di Melaka ketika pemerintahan PH pada 2018 lalu jelas diterima semua kaum di negara ini.

Jelas Ahli Parlimen Kota Raja itu, kepimpinan Adly ketika itu padanya adalah satu kepimpinan yang adil dan saksama dalam memberikan bantuan kepada rakyat.

“Adly Zahari berlatar belakangkan NGO berjaya membuat perubahan di negeri Melaka, kita lihat menjadi pemimpin politik terutamanya exco-exco kerajaan negeri bukan bertujuan untuk memperkayakan diri sendiri.

“Tetapi ini memperbanyakkan wang negeri dan digunakan kepada rakyat. sebab itu saya berbangga dengan Ketua Menteri PH dahulu Adly Zahari yang diterima oleh semua kaum dan mereka anggap beliau adalah pemimpin yang adil dan memberi bantuan secara saksama,” katanya lagi.

Adly yang juga Naib Presiden Amanah diangkat menjadi Ketua Menteri selama 22 bulan selepas PH mengambil alih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke 14 pada Mei 2018 lalu.

Untuk PRN Melaka ke 15 kali ini, Adly diangkat sebagai calon tunggal Ketua Menteri Melaka jika PH sekiranya memenangi PRN Melaka pada 20 November ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast