JASIN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuatkan pengamal media terpinga-pinga hari ini apabila enggan membuat sebarang sidang media biar pun diasak para wartawan.
Alasannya, Ahli Parlimen Port Dickson itu mahu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Mana boleh sidang media, SOP (prosedur operasi standard) tak benarkan. Saya tak mahu bayar kompaun RM10,000. Kamu semua (media) mahu sidang media?
“Kalau kena kompaun kamu bayar ya,” selorohnya selepas menjamu selera di sebuah warung berhampiran Felda Tun Ghaffar di sini hari ini.
Selepas memberikan penjelasan itu, Anwar meninggalkan warung berkenaan bersama-sama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan calon Ketua Menteri Melaka bagi PH, Adly Zahari.
Tidak puas hati dengan penjelasan itu, wakil media kemudiannya menghampiri Mohamad bagi mendapatkan penjelasan beliau.
“Tak boleh, tak boleh (bagi kenyataan) nanti RM4,000 (kena kompaun), saya tak ada duit,” katanya sebelum memasuki kereta dan menyertai rombongan Anwar ke DUN Telok Mas.
Isu SOP PRN Melaka menjadi isu apabila pelbagai pemimpin politik yang bertanding dalam PRN kali ini mendakwa ia terlalu ketat dengan SPR melarang semua aktiviti kempen seperti berhimpun, ceramah, ziarah rumah ke rumah dan walkabout.
Bagaimanapun, SOP membabitkan media sepanjang tempoh berkempen tidak diperincikan dan SPR menetapkan sidang media selepas mesyuarat parti dibenarkan.
Larangan sidang media atau temubual spontan hanya dilarang pada hari mengundi. – MalaysiaGazette